PELBAGAI BENTUK BANTUAN KEWANGAN DISALURKAN UNTUK WARGA PKPDK


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyalurkan pelbagai bentuk peruntukan bantuan kewangan kepada penyelia, petugas dan pelatih Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti (PKPDK) di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, dalam bajet 2021, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan kenaikan saguhati kepada penyelia dan petugas Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

 

“Sehubungan itu, mulai Mac 2021, kadar saguhati yang diterima oleh penyelia telah dinaikkan daripada RM1,200 sebulan kepada RM1,500.

 

“Sementara elaun yang diterima oleh petugas pula adalah senbanyak RM1,200 sebulan berbanding RM800 sebelum ini,” katanya pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Senggarang, Mohd Yusla Ismail dan ADUN Pekan Nenas, Tan Eng Meng secara bersekali mengenai elaun tenaga pengajar PDK dan kali terakhir elaun guru PDK disemak serta cadangan menaikkan kadar elaun tersebut.

 

Khairin-Nisa berkata, di negeri ini, setiap penyelia dan petugas menerima elaun tambahan dari Kerajaan Johor sebanyak RM200 sebulan mulai tahun 2015.

 

Ujarnya, oleh itu, jumlah keseluruhan elaun yang diterima oleh penyelia adalah sebanyak RM1,700 sebulan dan petugas pula RM1,400 sebulan.

 

Selain itu, beliau memberitahu PKPDK boleh membuat penetapan mengenai bayaran tambahan kepada penyelia dan petugas bergantung kepada kaedah pengambilan sama ada secara ‘contract of service’ atau ‘contract for service’.

 

“Bagi ‘contract for service’, seseorang itu dibayar untuk melakukan sesuatu tugasan dan tiada syarat perkhidmatan yang ditetapkan. Manakala ‘contract of service’ ialah pertubuhan sebagai ‘majikan’ kepada penyelia dan petuhas tersebut.

 

“Sebagai majikan, pertubuhan boleh membuat apa-apa penetapan mengenai apa-apa syarat perkhidmatan mengenai tempoh bekerja dan tambahan elaun lain yang difikirkan sesuai,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor