KERAJAAN JOHOR PERLU MODAL INSAN MAHIR STEM


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Lok Heng Selatan Kali Ke-27. | Foto ihsan Facebook Norliza Noh

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor sentiasa memberikan keutamaan kepada aspek pendidikan untuk melahirkan modal insan berkemahiran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, Kerajaan Negeri amat memerlukan modal insan yang mahir dalam mengendalikan bidang itu.

 

“Kerajaan Johor bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor juga telah banyak merangka program-program berkaitan antaranya ‘Youngster Coding Programme’ dan ‘Young Dronegineers Programme’,” katanya dalam Facebook rasminya, pada Selasa.

 

Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Lok Heng Selatan Kali Ke-27, dekat Kota Tinggi.

 

Pada majlis berkenaan, turut diadakan penyampaian anugerah kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan penyerahan set robotik untuk Sekolah-Sekolah FELDA anjuran FELDA Wilayah Johor Bahru.

 

Norlizah berkata, SK FELDA Lok Heng Selatan merupakan sekolah yang aktif dalam kegiatan ko-kurikulum malah sentiasa terlibat dalam acara atau pertandingan robotik.

 

“Saya yakin ini juga merupakan kejayaan hasil daripada kerjasama yang tinggi dalam kalangan ibu bapa dan guru. Kerjasama ini dapat memacu kejayaan anak-anak dari setiap segi dan penerapan nilai-nilai positif dalam kalangan anak-anak di SK FELDA Lok Heng Selatan,” katanya.

 

Sebagai anak FELDA, beliau turut menzahirkan rasa bangganya kerana FELDA pada masa kini, sudah mengambil langkah proaktif dalam memastikan generasinya menguasai bidang STEM.

 

“Sudah pasti FELDA juga tidak mahu ketinggalan dalam peralihan revolusi industri yang sangat laju hari ini,” katanya.

 

Untuk rekod, Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Johor 2023 memperuntukkan RM400,000 bagi menjayakan program ‘Youngsters Coding’ sebagai usaha menyuburkan minat pelajar terhadap STEM.

 

Selain itu, sebanyak RM400,000 juga diperuntukkan untuk melaksanakan program ‘Young Dronegineers’ bagi memberikan pendedahan kepada pelajar sekolah mempelajari asas dron.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor