UTHM TUBUH SKUAD POLIS BANTUAN


Majlis Serahan Surat Kelulusan dan Sijil Penubuhan Polis Bantuan merupakan simbolik permulaan kerjasama dua hala antara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM). | Foto ihsan UTHM

 

ISKANDAR PUTERI — Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Bahagian Keselamatan, Pejabat Pendaftar menerima surat kelulusan dan sijil penubuhan bagi skuad Polis Bantuan di kedua-dua kampus Batu Pahat dan Pagoh.

 

Naib Canselor UTHM, Prof. Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim berkata, penyerahan surat dan sijil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu adalah sebagai salah satu inisiatif dalam meningkatkan keselamatan di universiti dan menambah baik lagi perkhidmatan staf keselamatan.

 

“Majlis Serahan Surat Kelulusan dan Sijil Penubuhan Polis Bantuan ini merupakan titik permulaan temeterainya kerjasama dua hala antara UTHM dengan PDRM.

 

“Kewujudan Polis Bantuan di UTHM akan meningkatkan rasa selamat khasnya dalam kalangan kakitangan, pelajar dan juga orang awam yang berurusan dengan pihak universiti.

 

“Selain itu, penubuhan skuad ini juga mampu memberi lebih pendedahan kepada kakitangan dan pelajar berkaitan langkah-langkah pencegahan jenayah dengan lebih efektif dan mematuhi peraturan serta undang-undang negara secara menyeluruh,” katanya.

 

Terdahulu, Dr. Ruzairi menerima surat kelulusan dan sijil penubuhan Polis Bantuan dari Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman, CP Datuk Aidi Ismail.

 

Hadir sama, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, SAC Chuah Yong Huat dan Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Supt Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani.

 

Sementara itu, Dr. Ruzairi juga berkeyakinan kerjasama yang dimeterai bakal menjadi titik permulaan kepada UTHM dalam mengeratkan lagi hubungan strategik dengan pihak PDRM.

 

“Inisiatif ini membolehkan polis bantuan UTHM mempunyai kuasa dan kemahiran yang setara dengan polis PDRM sekali gus membantu pengurusan skuad tersebut untuk lebih proaktif dan berintegriti,” ujarnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor