KERAJAAN NEGERI DALAM LANDASAN SIFAR TASKA TIDAK BERDAFTAR


Pasukan petugas mengadakan lawatan terhadap salah satu TASKA di sekitar Johor Bahru.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor meneruskan komitmen bagi merealisasikan matlamat sifar Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) tidak berdaftar di negeri ini.

 

Antara bentuk tindakan adalah melalui pasukan petugas atau ‘taskforce’ melibatkan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, pasukan petugas telah mengadakan lawatan terhadap dua TASKA di sekitar bandar raya ini, pada Selasa.

 

Menurutnya, hasil lawatan mendapati salah sebuah TASKA terbabit mempunyai beberapa isu berkaitan pengurusan seperti nisbah kanak-kanak dan pengasuh serta pekerja.

 

“TASKA tersebut juga telah diambil tindakan kompaun oleh agensi kerajaan yang terlibat manakala pihak JKM juga memberi masa tujuh hari untuk menambah baik kualiti pengurusan TASKA sebelum tindakan seterusnya bakal diambil jika tiada perubahan.

 

“Suka saya ingatkan bahawa kepada ibu bapa untuk memeriksa TASKA tersebut dengan pihak JKM sama ada berdaftar atau tidak serta dari segi penjagaan keselamatan di TASKA tersebut sebelum meletakkan anak-anak anda di sesebuah TASKA,” kata beliau dalam Facebook rasminya.

 

Khairin-Nisa berkata, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada pengusaha TASKA tidak berdaftar, tetapi masih beroperasi demi kepentingan sendiri.

 

“Hal ini kerana, penjagaan kanak-kanak adalah tanggungjawab kita bersama dan mereka adalah masa depan kita semua.

 

“Terima kasih saya ucapkan kepada agensi-agensi yang hadir iaitu JKM Negeri Johor, PERKESO Johor, KWSP dan SSM yang bersama dalam memastikan keadaan TASKA di Johor ini, dalam keadaan terbaik untuk kanak-kanak,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor