KERAJAAN JOHOR RAKAM PENGHARGAAN KEPADA PM, MB NEGERI LAIN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SKJ(C) Sulong di Parit Sulong, semalam | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman bantuan segera banjir berjumlah RM50 juta kepada negeri ini.

 

Selain itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mezahirkan penghargaan kepada rakan sejawatnya di negeri-negeri lain, yang menggerakkan bantuan segera kepada Johor.

 

“Syukur Alhamdulillah, sewaktu lawatan saya di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SKJ(C) Sulong di Parit Sulong, saya menerima perkhabaran gembira bahawa Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan segera RM50 juta bagi membantu mangsa-mangsa banjir, serta keperluan lain yang mendesak. Terima kasih saya ucapkan.

 

“Kerajaan Negeri juga ingin menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; dan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari kerana sudi menggerakkan bantuan segera kepada Johor,” kata beliau di Facebooknya.

 

Onn Hafiz turut mendoakan semoga usaha diambil Kerajaan Negeri dan Persekutuan, dibantu agensi, syarikat korporat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan kesejahteraan Bangsa Johor, akan diberkati Allah SWT.

 

“Saya mendoakan agar kita semua cekal dalam menghadapi ujian ini. InsyaAllah kita akan dapat melalui tempoh yang serba mencabar ini,” kata beliau.

 

Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan bantuan banjir berjumlah RM50 juta kepada Negeri Johor untuk digunakan bagi membantu mangsa serta keperluan segera ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, semalam.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor