KERAJAAN JOHOR RAKAM PENGHARGAAN PENCAPAIAN CEMERLANG JCORP


Kerajaan negeri mengucapkan syabas dan tahniah kepada JCorp atas prestasi kewangan tahun 2021 yang cemerlang | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada pengurusan Johor Corporation (JCorp) atas pencapaian merekodkan keuntungan selepas cukai berjumlah RM400 juta.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pencapaian itu disifatkannya sebagai sanagt cemerlang tatkala dunia termasuk negara sedang mengalami pemulihan pasca COVID-19.

 

“Kerajaan negeri ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan pengurusan JCorp kerana telah melepasi prestasi kewangan tahun 2021, dengan mencatatkan anggaran perolehan lebih RM600 juta dan keuntungan selepas cukai berjumlah RM400 juta.

 

“Pencapaian ini saya sifatkan sangat cemerlang ketika mana dunia masih melalui proses pemulihan ekonomi pasca pandemik. Tahniah sekali lagi dengan prestasi kewangan luar biasa ini,” kata beliau menerusi Facebook rasminya.

 

Terdahulu beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli JCorp kali ke-195, di mana pembentangan mengenai prestasi kewangan semasa konglomerat itu dan syarikat kumpulannya serta pelan tindakan masa panjang.

 

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri juga yakin ketidaktentuan akibat daripada cabaran ekonomi semasa tidak menjejaskan tumpuan JCorp dalam melaksana dan menjayakan perancangan ditetapkan.

 

“Saya memahami cabaran-cabaran yang dilalui sebahagian daripada anak-anak syarikat JCorp, terutamanya dalam bidang restoran dan makanan, yang telah menerima impak dari gangguan terhadap rantaian dan bekalan, akibat isu-isu global seperti inflasi serta peperangan Russia dan Ukraine.

 

“Bagaimanapun kerajaan negeri yakin ketidaktentuan persekitaran sekarang tidak sesekali menjejaskan JCorp daripada memberi fokus dan keutamaan kepada projek-projek berstatus strategik, berteknologi tinggi serta berdaya maju yang sedang dilaksanakan,” kata beliau.

 

Selain itu, beliau berkeyakinan malah mengakui peranan JCorp adalah penting dan menyeluruh dalam pelaksanaan pembangunan serta menyumbang kepada kemakmuran negeri dan rakyat sekali gus bersama mencapai matlamat menjadikan Johor sebagai negeri maju menjelang 2030.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor