MENTERI BESAR JOHOR KE PPS, BERSAMA DALAM OPERASI MENYELAMAT


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut serta bersama pasukan penyelamat melakukan operasi memindahkan mangsa banjir ke PPS | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengunjungi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara, dekat Bandar Dato’ Onn, pagi tadi.

 

Kunjungan tersebut menjadi platform kepada pemimpin Kerajaan Johor itu mendengar perincian mengenai kejadian selain menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di PPS sekali gus menyampai bantuan.

 

Beliau turut meredah banjir bersama sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana dalam melakukan operasi menyelamatkan mangsa yang berada di kediaman dan bersedia untuk dipindahkan ke PPS.

 

“Johor diuji lagi dengan bencana banjir. Semua agensi telah digerakkan bagi membantu mangsa-mangsa banjir. Saya telah turun ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Bukit Mutiara, Bandar Dato Onn awal pagi tadi, antara 21 PPS yang telah dibuka di 4 daerah yang paling teruk dilanda banjir setakat jam 8 pagi.

 

“Selain itu saya sempat melihat sendiri operasi menyelamat mangsa-mangsa yang masih berada di kediaman berhampiran. Saya dimaklumkan sehingga sekarang seramai 560 keluarga dengan jumlah 1,591 mangsa terjejas akibat banjir ini serta dijangka berlaku pertambahan jumlah mangsa dalam waktu terdekat,” kata beliau di Facebook rasminya, hari ini.

 

Onn Hafiz turut berpesan kepada petugas agar sentiasa mengutamakan keselamatan dalam misi membantu mangsa banjir selain menyeru rakyat negeri ini, supaya terus peka dan mendengar arahan pihak keselamatan serta sentiasa berhati-hati serta dan saling menjaga antara satu sama lain.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor