EXCO KERAJAAN JOHOR PROAKTIF PANTAU SITUASI, SANTUNI MANGSA BANJIR


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah telah mengunjungi PPS Dewan Kampung Sungai Gatom di Labis, Segamat | Sumber gambar Facebook Hairi Md Shah.

 

ISKANDAR PUTERI — EXCO Kerajaan Johor mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi meninjau keadaan mangsa banjir yang mendapatkan perlindungan susulan kawasan masing-masing dinaiki akibat hujan lebat berterusan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah telah mengunjungi PPS Dewan Kampung Sungai Gatom di Labis, Segamat.

 

Menurut beliau, sehingga jam 7 pagi tadi, PPS yang dikunjunginya menempatkan seramai 161 mangsa membabitkan 39 buah keluarga dipindahkan.

 

“Selaku EXCO Belia dan Sukan Negeri Johor, saya telah meminta Skuad Southern Volunteers untuk terus segera membantu mangsa-mangsa di daerah Segamat selain bersiap siaga membantu di daerah-daerah lain susulan keadaan cuaca yang masih lagi hujan pagi ini.

 

“Kita sama-sama doakan semoga semua mangsa yang terjejas dengan banjir dipermudahkan segala urusan dan keadaan dapat kembali pulih dalam keadaan segera,” kongsi beliau di Facebook rasminya, hari ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di PPS | Sumber gambar Facebook Ah Soon.

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon pula melawat ke Balai Raya Kampug Temehel dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Yong Peng awal pagi ini.

 

“PPS akan dibuka nanti di SK Seri Kota, bagi mereka yang rumahnya dimasuki air dalam kawasan pekan Yong Peng, dinasihati pindah dan melaporkan ke PPS SK Sri Kota,” kata beliau.

 

Manakala Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh telah meninjau beberapa lokasi dinaiki air di sekitar Kota Tinggi.

 

“Antara kawasan terjejas adalah Kampung Bukit Samsu. Sekarang ini kerja-kerja pemindahan warga setempat di sini sedang dijalankan. Mereka yang terjejas ini akan ditempatkan di PPS Taman Koguna Kota Tinggi.

 

“Di musim hujan dan banjir ini saya memohon agar rakan-rakan untuk menjaga keselamatan dan kesihatan. Semoga segala urusan kita hari ini dipermudahkan,” kata beliau.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor