KERAJAAN JOHOR REALISASI IMPIAN MILIKI RUMAH SENDIRI

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diiringi YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor hadir merasmikan Majlis Penyerahan Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR) dan Program J-Home One Stop Centre di Taman Permata Layang, Simpang Renggam. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#Kluang – Selepas melalui beberapa cabaran sejak pembinaan dimulakan pada tahun 2017, akhirnya projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Taman Permata Layang, Simpang Renggam berjaya disiapkan dan pembeli kini menerima Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR) masing-masing.
Ia hasil daripada usaha bersepadu Kerajaan Negeri bersama Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang telah memastikan kelancaran pembinaan sehingga ke fasa penyerahan sijil.
Hasil kerjasama strategik bersama, projek RMMJ berjaya disiapkan dan menawarkan 125 unit rumah kediaman yang kesemuanya adalah dari jenis banglo dan tujuh unit kedai, dengan sebanyak 41 Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR) telah diserahkan kepada penerima pada hari ini.
Bagi Izzat Syahir Mohd Romli, 37, beliau berkongsi keterujaannya apabila berjaya memiliki rumah sendiri dan beliau menyatakan ia amat bermakna buat dirinya yang sebelum ini tinggal bersama ibu bapa bersama isteri dan dua anak.
Setelah projek ini siap, beliau akhirnya dapat menarik nafas lega kerana berpeluang memiliki kediaman sendiri, sekali gus memberi ruang kepada keluarga kecilnya untuk hidup dengan lebih selesa.
Selain itu, golongan muda seperti Siti Maisarah Ramlan, 25, memberitahu dia telah memohon kediaman RMMJ berkenaan pada awal tahun ini dan tidak menyangka permohonannya diluluskan yang secara tidak langsung membolehkannya memiliki rumah pada usia yang muda terutama ketika pasaran hartanah yang semakin mencabar.
Kejayaan menyiapkan projek RMMJ Taman Permata Layang ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memastikan projek perumahan rakyat dapat direalisasikan walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk pandemik COVID-19.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diiringi YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor hadir merasmikan Majlis Penyerahan Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR) dan Program J-Home One Stop Centre di Taman Permata Layang, Simpang Renggam, hari ini.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor