KERAJAAN JOHOR MENYANTUNI PENGGIAT SENI


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar menyantuni penggiat seni menerusi Program Ziarah Seni | Sumber Facebook Raven Kumar Krishnasamy.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor menyantuni penggiat seni di sekitar bandar Mersing sempena Program Ziarah Seni Tahun 2022 Daerah Mersing.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar berkata, kunjungan program itu dijayakan bersama Majlis Kebudayaan Daerah Mersing dan pengurusan Majlis Kebudayaan Negeri Johor.

Menurutnya, program tersebut sebagai tanda penghargaan atas jasa aktivis budaya di negeri ini.

“Saya bersama pihak Majlis Kebudayaan Daerah Mersing dan pengurusan Majlis Kebudayaan Negeri Johor telah melawat tiga rumah penggiat seni di sekitar bandar Mersing bersempena Program Ziarah Seni.

“Sumbangan ziarah seni adalah bertujuan untuk menghargai jasa aktivis budaya supaya budaya ini tidak dilupakan oleh masyarakat terutamanya di Negeri Johor,” katanya sempena program tersebut, Rabu lalu.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Warisan Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim.

Raven Kumar turut merakamkan rasa bangga berikutan aktiviti kebudayaan di negeri ini, masih aktif.

Selain itu, beliau yang juga ADUN Tenggaroh turut berkesempatan beramah mesra bersama penggiat-penggiat seni di daerah Mersing.

“Saya berharap agar semua aktivis yang berada di daerah Mersing dapat mengekalkan kebudayaan di Negeri Johor ini dan dapat diteruskan oleh generasi yang akan datang,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor