KERAJAAN JOHOR MENYUMBANGKAN RM776,380 BAGI KASIH SURI KELUARGA MALAYSIA NEGERI JOHOR 2022


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail pada Majlis Pelancaran dan Penyampaian Kasih Suri Keluarga Malaysia Negeri Johor dan i-Berkat Daerah Tangkak Tahun 2022 | Sumber Facebook Khairin-Nisa Ismail.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor menyumbang RM776,380 kepada Kumpulan Wang Simpnan Pekerja (KWSP) bagi Program Kasih Suri Keluarga Malaysia Negeri Johor Tahun 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, sumbangan tersebut akan memberi manfaat kepada 12,931 suri rumah peserta i-Suri berdaftar di bawah eKasih pada tahun ini.

Menurutnya, inisiatif khas Kasih Suri Keluarga Malaysia Negeri Johor itu diketengahkan bagi menggalakkan suri rumah mencarum secara sukarela di KWSP.

“(Inisiatif) sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri Johor di atas sumbangan golongan suri rumah dalam membentuk kesejahteraan negara.

“Selari dengan hasrat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di dalam Majlis Amanat Menteri Besar Johor tahun 2022 pada 14 Jun yang lalu,” katanya sempena Majlis Pelancaran dan Penyampaian Kasih Suri Keluarga Malaysia Negeri Johor dan i-Berkat Daerah Tangkak Tahun 2022, Selasa lalu.

Khairin-Nisa berkata, setiap penerima akan menerima insentif sebanyak RM480 yang dikreditkan ke akaun KWSP dengan mencarum sebanyak RM60 setahun atau RM5 sebulan, seterusnya menerima dividen diisytiharkan.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim, Nurul Naqiah Fadzil; Pengurus Pejabat KWSP Wilayah Selatan, Mustafa Kamal Ishak serta Ketua Cawangan KWSP Daerah Muar, Muhd Fizry Yusuf.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor