KERAJAAN JOHOR SARAN SEGERAKAN PEMBAIKAN ‘LOG BOOM’


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar melakukan tinjauan di Sungai Skudai.

 

ISKANDAR PUTERI — Pembaikan ‘log boom’ atau perangkap sampah antara tindakan perlu disegerakan bagi menyelesaikan isu pelepasan sampah di Sungai Skudai.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar berkata, tindakan tersebut dapat menghalang sampah dengan kadar yang cepat di sungai terbabit.

 

“(Selain itu) Penyelenggaraan sungai perlu dibuat dengan kadar segera memandangkan struktur penghalang sampah di ‘log boom’ Taman Impian telah berfungsi walaupun kerja-kerja masih dikategorikan belum siap,” katanya pada Sabtu.

 

Terdahulu, beliau mengadakan kunjungan ke Sungai Skudai susulan aduan awam bahawa terdapat banyak sampah di sungai berkenaan.

 

Raven Kumar berkata, tinjauan mendapati sampah hanyut disebabkan beberapa faktor iaitu pelepasan sampah daripada ‘log boom’ atau pintu air Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail ke hilir sungai terutama kawasan aduan.

 

“Kedua, ‘Log Boom’ di bawah kawalan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang rosak akibat banjir bulan Februari yang lepas. (Dan) Ketiga, ‘Log Boom’ yang terletak di Taman Impian Emas masih belum beroperasi sepenuhnya,” katanya.

 

Selain itu, beliau turut mengesyorkan pelaksanaan program Johor Bersih 2.0 di lokasi ‘hotspot’ iaitu Kampung Sepakat Jaya, Kampung Laut dan Taman Impian secara kerap sebagai penyelesaian jangka pendek terhadap isu berkenaan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor