300 BUNGKUSAN MAKANAN DIAGIHKAN DALAM KOMUNITI DI HATI KOTA TINGGI


 

Kerajaan Negeri meneruskan usaha murni membantu meningkatkan pendapatan, mengurangkan perbelanjaan harian dan mendidik masyarakat berjiwa cakna serta mengeratkan silaturahim menerusi program Komuniti Di Hati Tahun 2023 di Kota Tinggi.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 300 bungkusan makanan diagihkan kepada golongan sasar di Kota Tinggi sempena program Komuniti Di Hati Tahun 2023 bagi daerah berkenaan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, kesemua bungkusan makanan itu disiapkan secara gotong royong oleh 16 ahli komuniti ibu tunggal Kampung Tanjung Sedili.

 

Menurutnya, Kerajaan Negeri meneruskan usaha murni membantu meningkatkan pendapatan, mengurangkan perbelanjaan harian dan mendidik masyarakat berjiwa cakna serta mengeratkan silaturahim menerusi program itu di Kota Tinggi.

 

“Bungkusan makanan yang berjaya disiapkan, diagihkan oleh Ketua Kampung Tanjung Sedili, Ali Bathoor Ahmad Ramli dan juga sukarelawan Kampung Tanjung Sedili kepada para penerima yang merupakan golongan sasar.

 

“Seramai 381 ketua isi rumah menerima manfaat di mana 100 daripadanya adalah miskin tegar manakala 281 dalam kategori miskin menerusi sembilan kampung rangkaian,” katanya pada Sabtu.

 

Khairin-Nisa berkata, sebanyak 6,000 bungkusan makanan disasarkan untuk diagihkan kepada penerima secara bergilir-gilir sehingga November ini.

 

Ujarnya, inisiatif tersebut akan dilaksanakan setiap hujung minggu sebanyak 20 kali dengan anggaran 300 bungkusan makanan disediakan bagi satu projek.

 

“Terima kasih saya ucapkan terutamanya kepada pegawai-pegawai Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT); Ketua Kampung serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) selain warga Kampung Tanjung Sedili atas kerjasama untuk menjayakan projek ini.

 

“Semoga usaha kerajaan negeri ini dapat mencapai objektif dan memberi impak positif kepada Bangsa Johor secara keseluruhannya,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor