KERAJAAN JOHOR TUMPU USAHA BANTU BANGSA JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han mengadakan perbincangan tumpu usaha membantu Bangsa Johor | Sumber Facebook Lee Ting Han.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri terus memberikan tumpuan kepada usaha mempertingkatkan kemahiran serta menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, gerak kerja kerajaan negeri untuk membantu rakyat Johor adalah seperti biasa meskipun dalam musim pilihan raya.

Menurutnya, kerajaan negeri menerima laporan syarikat multinational sedang membuat perancangan mengurangkan pekerja berikutan strategi syarikat ke arah automasi selain situasi global yang tidak menentu.

“Walaupun dalam musim pilihanraya, gerak kerja Kerajaan Negeri untuk membantu Bangsa Johor berjalan seperti biasa.

“Satu mesyuarat khas yang dihadiri oleh pegawai daripada PERKESO Johor, Unit Strategik Modal Insan Johor, Invest Johor dan TalentCorp telah diadakan untuk membincangkan usaha untuk membantu pekerja-pekerja yang terjejas, terutamanya mengenai program ‘re-skilling’ dan ‘up-skilling’, pemadanan kerja dan bantuan sementara,” katanya dalam Facebook rasminya.

Ting Han berkata, Kerajaan Persekutuan telah menggubal Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) bagi memberi perlindungan kepada pekerja yang terjejas sementara mencari pekerjaan baharu.

“Ini menunjukkan kepentingan kita memilih kerajaan yang betul-betul berjiwa rakyat dan bukan semata-mata menawarkan polisi populis sahaja,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengalu-alukan orang ramai untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di laman sesawang PERKESO serta tawaran pekerjaan di portal MYFutureJobs.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor