SULTAN IBRAHIM RASMI BUKU DAN PORTAL KESULTANAN JOHOR


DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan merasmikan Buku dan Portal Kesultanan Johor yang menandai lembaran bersejarah bagi Institusi DiRaja Johor. | Foto MDJ, Saufi Razale

 

JOHOR BAHRU — DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan merasmikan Buku dan Portal Kesultanan Johor yang menandai lembaran bersejarah bagi Institusi DiRaja Johor.

 

Keberangkatan Baginda Tuanku Sultan diiringi DYMM Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah.

 

Turut berangkat sama ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Ibni Sultan Ibrahim; Tunku Tun Aminah binti Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Ibni Sultan Ibrahim.

 

Hadir sama ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Jumaah Majlis DiRaja Johor, Dato’ Dr. Abdul Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani.

 

Pada majlis berkenaan, Sultan Ibrahim berkenan menyaksikan penyampaian sumbangan penghargaan daripada Kerajaan Negeri Johor kepada Yayasan-Yayasan Diraja Johor.

 

Ia membabitkan Yayasan Sultan Ibrahim Johor, Yayasan Raja Zarith Sofiah, Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Yayasan Sultanah Fatimah dan Yayasan Sultanah Rogayah .

 

Sementara itu, dalam sembah ucapan, Onn Hafiz menzahirkan penghargaan dan menjunjung kasih kepada Keluarga Diraja Johor atas keprihatinan terhadap kebajikan Bangsa Johor.

 

“Sepanjang tempoh pandemik Covid-19 sahaja, Keluarga DiRaja Johor telah menyumbang lebih RM123 juta merangkumi pelbagai jenis sumbangan yang telah membantu 1.6 juta Bangsa Johor mendepani cabaran pandemik Covid-19.

 

“Keluarga DiRaja sentiasa di hadapan di dalam misi bantuan bencana banjir, ribut, kebakaran, bantuan kepada golongan asnaf, bantuan pendidikan, bantuan kesihatan selain turut memperjuangkan dan melindungi hak asasi wanita dan kanak-kanak.

 

“Atas sifat ihsan dan kasih DYMM Tuanku dan Keluarga DiRaja Johor ini, maka lahirlah simbiosis yang erat di antara Keluarga DiRaja dengan rakyat jelata,” ujarnya.

 

Tambah Onn Hafiz, Portal Kesultanan Johor yang dilancarkan itu mengandungi lima elemen antaranya Kegemilangan Johor, Pembangunan dan Pentadbiran Johor Moden, Johor di Persada Global, Raja dalam Undang-Undang dan Johor Sosial.

 

“Catatan dan dokumen-dokumen di dalamnya sarat dengan maklumat yang berguna untuk masyarakat memahami dengan lebih mendalam akan sejarah, struktur pentadbiran, ekonomi serta perhubungan luar Negeri Johor.

 

“Portal Kesultanan Johor ini juga akan dikemaskini seiring dengan peredaran zaman, menambah lembaran-lembaran sejarah negeri untuk tatapan masa hadapan,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor