KERAJAAN NEGERI JOHOR KOMITED TANGANI RISIKO BANJIR KAMPUNG PASIR

Kerajaan Negeri Johor akan terus memantau kerja-kerja penggantian pintu air, pengaktifan pam baharu serta penyelenggaraan sistem saliran bagi memastikan usaha mitigasi banjir di Kampung Pasir dapat berjalan lancar. | Foto FB Fazli Salleh
#JohorBahru – Kapasiti proses pengepaman keluar air di Parit Keliling, Kampung Pasir, Tampoi bakal meningkat tiga kali ganda daripada 50 kepada 150 kaki padu sesaat menerusi pengaktifan dua unit pam skru (screw pump) baharu bagi memperkukuh usaha mitigasi banjir di kawasan berkenaan.
Pengaktifan kedua-dua pam berkapasiti keseluruhan 100 kaki padu sesaat itu dijangka mampu meningkatkan keupayaan sistem saliran untuk mengalirkan keluar air, sekali gus membantu mengurangkan risiko banjir di kawasan terlibat.
Bagaimanapun, kerja pemasangan kabel elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membolehkan kedua-dua pam berkenaan beroperasi dengan baik masih giat dilaksanakan.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah berjaya membaiki dan memasang semula satu daripada tiga pintu air yang terdapat di Sungai Keliling yang sebelum ini mengalami kerosakan sehingga menyebabkan banjir di Kampung Pasir.
Kerosakan pintu air itu telah mengakibatkan air dari Sungai Skudai memasuki Parit Keliling, manakala kapasiti pam sedia ada tidak mencukupi untuk menampung jumlah kemasukan air berkenaan walaupun pam berkenaan yang berkapasiti 50 kaki padu sesaat telah diaktifkan.
Sehubungan itu, keadaan cuaca dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang menjadi antara faktor yang perlu diberi perhatian sementara menunggu pengoperasian pam baharu, khususnya sekiranya berlaku hujan lebat serentak dengan fenomena air pasang.
Kerajaan Negeri Johor akan terus memantau kerja-kerja penggantian pintu air, pengaktifan pam baharu serta penyelenggaraan sistem saliran bagi memastikan usaha mitigasi banjir di Kampung Pasir dapat berjalan lancar.
Terdahulu, YB Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur Dan Komunikasi Negeri Johor, turut meninjau lokasi berkenaan.
#KampungPasir
#Tampoi
#MitigasiBanjirJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



