KERAJAAN NEGERI MAHU JADIKAN JOHOR DESTINASI PELANCONGAN UNGGUL


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan kunjungan hormat bersama delegasi Johor termasuklah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar di MOTAC. | Foto ihsan Facebook Raven Kumar Krishnasamy

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor komited untuk menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan menarik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar merakamkan penghargaan atas sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terhadap komitmen Kerajaan Negeri.

 

“Kerajaan Negeri ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Tiong King Sing atas keprihatinan beliau membantu sektor pelancongan di Negeri Johor.

 

“Sememangnya kerajaan Negeri amat komited meletakkan Negeri Johor sebagai lokasi atau pusat pelancongan yang mempunyai daya tarikan tertinggi di Malaysia dan juga persada dunia,” katanya pada Isnin.

 

Terdahulu, Media Digital Johor melaporkan MOTAC bersetuju menyalurkan peruntukan RM3.5 juta bagi melaksanakan kerja menaik taraf infrastruktur kawasan pelancongan di negeri ini.

 

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas mengadakan kunjungan hormat bersama delegasi Johor termasuklah Raven Kumar ke atas King Sing di pejabat MOTAC.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor