TALENTCORP METERAI MOU BERSAMA IIB


EXCO Kerajaan Johor, Mohd Hairi Mad Shah (tengah) selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor menyaksikan pertukaran MoU antara TalentCorp dan IIB.

 

ISKANDAR PUTERI — Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Iskandar Investment Berhad (IIB) pada Selasa lalu.

 

Hadir menyaksikan majlis menandatangani MoU itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

MoU tersebut bertujuan mengembangkan usahasama dalam mengukuhkan tenaga kerja Johor mmenerusi inisiatif pembangunan strategik modal insan.

 

Onn Hafiz berkata, kerjasama antara TalentCorp dan IIB merupakan satu langkah penting ke arah mencapai visi Johor menjadi destinasi pelaburan, inovasi dan bakat bertaraf dunia.

 

“Melalui kerjasama ini, kita dapat mengekalkan momentum ekonomi Johor untuk memberi manfaat kepada Bangsa Johor,” kata beliau dalam ucapan yang disampaikan oleh Mohd Hairi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew berkata, peranan pihak dalam menarik, memupuk dan mengekalkan bakat untuk permintaan industri mengurangkan cabaran seperti ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan.

 

“Penempatan pegawai TalentCorp secara tetap di Wilayah Selatan adalah komitmen kami ke arah mewujudkan kerjasama dengan Kerajaan Johor dan pihak berkepentingan ke arah memacu pembangunan modal insan Malaysia,” katanya.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Dato’ Idzham Mohd Hashim berkata, kerjasama dengan TalentCorp mewujudkan peluang kepada bakat Malaysia untuk mengakses syarikat teknologi dan digital baru yang muncul di Iskandar Puteri.

 

“Ia juga akan menyokong usaha kami dalam membina ekosistem yang kukuh dan mampan di Iskandar Puteri, meningkatkan daya tarikannya terhadap FDI, DDI melalui bakat sedia ada dengan kemahiran dan kecekapan yang relevan pada kos yang kompetitif,” katanya.

 

MoU antara TalentCorp dan IIB menggariskan rangka kerjasama merangkumi inisiatif mengenalpasti dan pembangunan bakat selain perancangan kerjaya.

 

Ia juga bagi meningkatkan tahap penglibatan antara industri dan ahli akademik dalam membangun serta mengekalkan kumpulan bakat negeri.

 

Pada majlis berkenaan, TalentCorp melancarkan Senarai Pekerjaan Kritikal khusus Johor (MyCOL) untuk mengenalpasti dan menyediakan maklumat mengenai pekerjaan kritikal yang mempunyai permintaan.

 

Data tersebut akan digunakan untuk mempertingkatkan program latihan dan laluan kerjaya yang memberi tunpuan kepada keperluan tenaga kerja di Johor.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor