KERAJAAN NEGERI TERUS MEMBELA GOLONGAN OKU DAN MASYARAKAT ORANG ASLI


Kekerajaan Negeri Johor dalam Pembentangan Belanjawan Negeri Johor 2023 terus komited membela golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan Masyarakat Orang Asli / Gambar Ihsan Johor Southern Tigers.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri terus melakukan usaha membela golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan Masyarakat Orang Asli bagi memastikan kebajikan mereka terus mendapat perhatian yang sewajarnya.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata bagi tujuan ini Belanjawan Negeri Johor Bagi Tahun 2023 akan terus memberi peruntukan sewajarnya demi manfaat kedua-dua golongan ini.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengambil tanggungjawab menghakupayakan OKU agar kehidupan mereka lebih sejahtera dengan sejumlah peruntukan sebanyak RM860,000. Pertama iaitu Disability Empowerment and Enchancement Programme (DEEP) dengan peruntukan RM300,000 untuk memberi peluang pekerjaan kepada 300 OKU dalam pelbagai sektor.

“Kedua ialah kerja-kerja pembaikan, penyelenggaraan dan naik taraf premis Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dengan peruntukan sebanyak RM560,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Pembentangan Belanjawan Negeri Johor Bagi Tahun 2023 yang bertemakan Maju Johor: Makmur Bersama Rakyat di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, semalam.

Onn Hafiz berkata, Kerajaan Negeri juga mengambil berat tentang kesejahteraan Orang Asli kerana mereka adalah sebahagian daripada Bangsa Johor dan sentiasa memberi seluruh komitmen dalam mempertahan dan memulihara lingkungan semula jadi supaya mereka dapat hidup dengan sejahtera dan makmur.

“Justeru, inisiatif pertama yang akan dilaksanakan ialah Pembangunan Modal Insan Orang Asli. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM152,000 bagi pelaksanaan program yang dapat meningkatkan keupayaan Orang Asli untuk bersama membangunkan sosioekonomi Negeri Johor.

“Kedua ialah Pembangunan Kampung Orang Asli Sejahtera. Menerusi inisiatif ini akan memperkasa institusi kampung Orang Asli yang cekap dan berkesan bagi memacu pembangunan mampan serta menjadi contoh kepada kampung Orang Asli yang lain.

“Justeru, sebanyak RM300,000 diperuntukan oleh Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan projek rintis di Kampung Orang Asli Puting di Segamat,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor