7 INISIATIF UNTUK MENGERATKAN PERPADUAN BANGSA JOHOR


Tujuh Inisiatif Untuk Mengeratkan Perpaduan dirangka dalam Belanjawan Negeri Johor Bagi Tahun 2023 / Gambar Ihsan FB Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri Johor merencanakan tujuh inisiatif bagi mengeratkan perpaduan Bangsa Johor semangat kebersamaan ini terus kekal utuh di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ini bagi memastikan semua rakyat berbilang bangsa dan agama di Johor akan dapat hidup dalam keadaan makmur dan sejahtera.

“Inisiatif pertama ialah Duta Perpaduan Johor (DPJ). Kerajaan Negeri percaya DPJ adalah antara inisiatif perpaduan yang penting dan mampu mengukuhkan nilai perpaduan sesama masyarakat pelbagai kaum.

“Peruntukan RM500,000 akan disediakan agar program ini dapat memupuk dan menerapkan nilai perpaduan terhadap perbezaan agama, bangsa dan budaya dalam generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pembentangan Belanjawan Negeri Johor Bagi Tahun 2023 di Persidangan Dewan Negeri, semalam.

Onn Hafiz berkata, inisiatif kedua pula ialah Karnival Bangsa Johor dan Kerajaan Negeri optimis untuk menganjurkan karnival ini yang bermatlamatkan meningkatkan lagi ukhuwah dalam kalangan Bangsa Johor dengan peruntukan sebanyak RM200,000.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan menubuhkan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Pelbagai Agama. Menyedari kepentingan untuk mengekalkan perpaduan di Johor, Kerajaan Negeri telah mempertimbangkan untu mewujudkan jawatankuasa berkenaan dengan peruntukan sebanyak RM50,000.

“Jawatankuasa ini akan menjadi platform perbincangan dan melaksanakan program yang bertujuan untuk mengharmonikan perpaduan Bangsa Johor kelak,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga akan membekalkan peralatan baharu kepada Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang aktif dengan peruntukan sebanyak RM180,000.

“Peruntukan pembekalan peralatan baharu kepada 90 SRS yang bertujuan meningkatkan operasi secara bersepadu dalam komuniti di hotspot yang kerap berlaku jenayah.

“Sebagai tambahan, RM50,000 lagi diperuntukan bagi meningkatkan kebolehupayaan ahli SRS dalam usaha menangani jenayah dan bencana dalam kawasan kejiranan,” katanya.

Onn Hafiz berkata, Belanjawan Negeri Johor 2023 juga akan memberi tumpuan kepada Program Silang Budaya Bangsa Johor dan Projek Akuagro Rukun Tetanga.

“Negeri Johor kaya dengan kepelbagaian tradisi yang perlu ditonjolkan. Justeru, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Yayasan Warisan Johor (YWJ) serta Majlis Kebudayaan Negeri Johor akan diperuntukan sebanyak RM350,000 untuk menganjurkan aktiviti silang budaya dan pertandinagn video pendek perpaduan Bangsa Johor.

“Bagi inisiatif keenam, usaha mengeratkan perpaduan dalam kalangan komuniti diteruskan dengan mengenal pasti Rukun Tetangga yang berpotensi untuk melakukan projek akuagro. Sebagai permulaan, Kerajaan Negeri memperuntukan RM230,000 bagi tujuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif terakhir di dalam teras ini ialah Kerohanian Dan Kebajikan Masyarakat Tiong Hua, India dan Lain-Lain.

“Demi kesejahteraan dan permuafakatan Bangsa Johor, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM12 juta untuk tujuan pembangunan kerohanian serta kebajikan masyarakat Tiong Hua, India dan Lain-lain,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor