105 USAHAWAN DIGITAL DILAHIRKAN MENERUSI PEDi DUN TANJUNG SURAT


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 105 usahawan digital dilahirkan menerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga (PEDi) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, daripada jumlah tersebut, 28 usahawan di PEDi Kampung Masjid Teluk Ramunia, 32 usahawan di PEDi Kampung Pasir Gogok dan 45 usahawan di PEDi FELDA Adela.

Menurutnya, bidang perniagaan diusahakan oleh usahawan tersebut antaranya makanan, pakaian, kosmetik, kesihatan, perkhidmatan, agro, penternakan, elektronik, kesihatan dan perkhidmatan.

“Bagi menyokong dan memperkasa ekonomi digital negara, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melancarkan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan usahawan mikro menceburi perniagaan atas talian menerusi platform e-dagang antaranya Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK).

“PUPUK merupakan kerjasama strategik antara penyedia platform digital, syarikat telekomunikasi dan PEDi bagi membantu dan memperkasa usahawan luar bandar untuk melibatkan diri dalam ekonomi digital,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin mengenai jumlah usahawan di DUN Tanjung Surat yang telah dilatih melalui program di bawah PEDi serta perancangan memperkasa ekonomi digital di luar bandar.

Norlizah berkata, demi menyokong inisiatif tersebut, rakan digital PEDi akan dilantik di setiap 600 PEDi terpilih bagi membantu usahawan mikro sedia ada serta melahirkan lebih ramai usahawan digital baharu.

Ujarnya, rakan digital PEDi akan menjalankan pelbagai latihan keusahawanan, mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan perniagaan yang ditawarkan oleh agensi-agensi berkaitan.

Selain itu katanya, SKMM telah memperkenalkan Pelan Accelerator Kurier Negara (PAKEJ) bagi mendepani ledakan e-dagang selain memastikan pertumbuhan industri secara lestari dalam era ekonomi digital.

“PAKEJ turut mensasarkan peningkatan akses kepada perkhidmatan kurier serta liputan dengan mengoptimumkan aset dan infrastruktur terutamanya bagi kawasan luar bandar.

“PAKEJ diterjemahkan melalui Inisiatif Pusat Pungutan dan Serahan (PUDO) yang ditempatkan di PEDi. Inisiatif PUDO@PEDi akan membolehkan usahawan mikro memanfaatkan PEDi setempat sebagai pusat pungutan produk mereka,” katanya,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor