TUMPU USAHA JANGKA PANJANG ATASI GANGGUAN BEKALAN AIR


Gambar hiasan.

 

Kerajaan Johor akan memberikan tumpuan terhadap usaha jangka masa panjang termasuklah melibatkan aspek pemantapan pengurusan air bagi menangani isu gangguan bekalan terutama pada musim perayaan yang membelenggu rakyat negeri ini, saban tahun.

 

Antara langkah sedang dan akan dilaksanakan adalah menambah dan memperkukuhkan empangan sedia ada terutama melibatkan daerah yang menerima permintaan atas penggunaan air yang tinggi ketika perayaan seperti Kulai dan Kluang.

 

Justeru, YB Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor memaklumkan Empangan Sembrong berfungsi sebagai tadahan air dan tebatan banjir akan dinaik taraf bagi menampung keperluan sumber bekalan penduduk di dua daerah terbabit apabila siap kelak.

 

Kerajaan Negeri juga akan terus bekerjasama erat dengan Ranhill SAJ Sdn. Bhd. (Ranhill SAJ) selaku operator tunggal perkhidmatan air Johor bagi menyediakan lebih banyak tangki air di kawasan tumpuan yang sering mengalami tekanan air rendah.

 

Sementara itu, tindakan proaktif Kerajaan Negeri mengarahkan Ranhill SAJ bersiap siaga dan melaksanakan persediaan Ops Aidilfitri 2024 telah berjaya membendung 90 peratus daripada 147 lokasi yang dikenal pasti daripada berhadapan masalah gangguan bekalan air pada lebaran kali ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor