KERJASAMA ERAT JBA-MSNJ PENTING LAHIRKAN BAKAT BADMINTON BAHARU


Persatuan Badminton Johor (JBA), Roslan Abdul Ghani menghargai kerjasama yang diberikan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ). | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Persatuan Badminton Johor (JBA) menghargai kerjasama dan peranan dimainkan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dalam membantu melaksanakan program pembangunan di peringkat akar umbi.

 

Hubungan erat antara JBA dan MSNJ boleh dilihat menerusi penyerahan Geran B berjumlah RM70,000 dari Kerajaan Negeri bagi dua tahun berturut-turut.

 

Presiden JBA, Roslan Abdul Ghani memaklumkan geran kepada persatuan itu dimanfaatkan bagi membantu pemerkasaan pengurusan dan perancangan program melahirkan bakat baharu.

 

Pihak persatuan juga sudah mengadakan perbincangan dua hala bersama MSNJ untuk menghantar pemain muda menjalani latihan khusus bertujuan meningkatkan prestasi sebelum menyertai sebarang kejohanan.

 

Selain itu, program pembangunan dilaksanakan JBA berjaya mencungkil bakat berpotensi yang menjadi aset dalam sukan badminton negara antaranya Low Zi Yu, 13, dan Dania Sofea Zaidi, 16.

 

Kedua-dua pemain remaja itu telah mewakili negara dalam Kejohanan Badminton Remaja Asia 2023 pada Oktober lalu, dan berjaya menyumbang pingat menerusi acara beregu campuran bawah 15 serta 17 tahun.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor