KESEJAHTERAAN RAKYAT BERMULA DARI DEWAN NEGERI

Ku Hasnan Ku Halim, penganalisis politik UTHM berkata, bekalan air, perumahan, pengangkutan awam dan pembangunan bandar merupakan antara bidang kuasa Kerajaan Negeri yang memberi kesan langsung kepada rakyat, namun masih kurang difahami oleh masyarakat. | Foto arkib MDJ

 

#IskandarPuteri – Hal ehwal berkaitan bekalan air terawat, perumahan, pengangkutan awam dan pembangunan bandar merupakan antara perkara yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri yang mampu memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.

 

Bagaimanapun, masih ramai dalam kalangan rakyat hari ini kurang memahani hakikat ini meski pun sebahagian besar urusan yang berkait rapat dengan keperluan rakyat ini sebenarnya dibincang dan ditentukan di peringkat negeri, kata penganalisis politik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ku Hasnan Ku Halim.

 

Ujarnya, dalam sektor perumahan misalnya, Kerajaan Negeri berupaya untuk melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang menyasarkan pembinaan 100,000 unit kediaman menjelang 2030 bagi membantu lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri pada harga yang lebih berpatutan.

 

Bidang kuasa ini juga membolehkan Kerajaan Negeri dapat memperkenalkan Perumahan Kasih Johor bagi membantu golongan memerlukan membaiki atau membina kediaman yang lebih selesa dan selamat untuk didiami selepas usul dan sesi perbahasan berkaitan perkara itu dibawa dan didengar di Dewan Negeri.

 

Dalam aspek bekalan air pula, pelbagai projek telah dilaksanakan untuk memperkukuh kapasiti sistem bekalan termasuk pembangunan sumber air baharu, peningkatan keupayaan loji rawatan air (LRA) serta usaha jangka panjang bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi untuk kegunaan domestik dan industri.

 

Bagi sektor pengangkutan awam pula, ia juga menjadi antara fokus utama Kerajaan Negeri menerusi pelaksanaan usaha penyuraian trafik bagi menyokong pengoperasian projek Sistem Rapid Transit (RTS Link) Johor Bahru-Singapura serta perancangan sistem Aliran Transit Automasi-Bertingkat (E-ART) yang bertujuan meningkatkan mobiliti rakyat dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

 

Selain itu, pembangunan bandar, penyediaan kemudahan awam dan pengurusan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut dilaksanakan berdasarkan dasar serta keputusan yang diputuskan di peringkat negeri bagi memastikan pertumbuhan pembangunan di Johor berlaku secara terancang dan mampan.

 

Pada masa sama, keputusan berkaitan penggunaan tanah turut memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan baharu termasuk pembangunan kawasan perindustrian, hab logistik dan pelbagai projek strategik di bawah inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat.

 

Peranan ini menjadi semakin penting ketika Johor sedang melalui fasa pertumbuhan ekonomi yang pesat dengan pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP), pembangunan infrastruktur berskala besar dan kemasukan pelaburan bernilai berbilion ringgit ke negeri ini.

 

Keputusan yang dibuat di Dewan Negeri bukan sahaja mempengaruhi pembangunan semasa, malah turut menentukan keupayaan negeri meningkatkan taraf hidup rakyat, menarik pelaburan dan merancang pembangunan yang lebih mampan untuk generasi akan datang.

 

Ku Hasnan berpandangan peningkatan literasi politik masyarakat perlu terus diperkukuhkan agar rakyat memahami bahawa banyak aspek kesejahteraan hidup mereka turut dipengaruhi oleh penggubalan dasar dan keputusan yang dibuat di peringkat negeri serta tidak melihat setiap isu hanya dari sudut politik nasional semata-mata.

 

#JohorSafeZone
#DewanNegeriJohor
#PRUDNJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor