KESIAPSIAGAAN SOUTHERN VOLUNTEERS DI TAHAP TERTINGGI


Pasukan sukarelawan Southern Volunteers (SV). | Foto MDJ Wira Anggara

 

#IskandarPuteri – Pasukan sukarelawan Southern Volunteers (SV) kini dalam mod bersedia untuk memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan dalam menghadapi sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) di negeri yang sudah bermula sejak November lalu.

 

Pasukan sukarelawan ini akan memainkan peranan dalam membantu agensi yang terlibat secara langsung dengan mangsa banjir seperti menghulurkan bantuan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta pengedaran ‘SV Box’ iaitu kotak yang mengandungi baranh makanan dan kelengkapan lain kepada penduduk yang terjejas bencana menerusi wakil sukarelawan SV di peringkat daerah.

 

Penyelerasan gerak kerja misi bantuan banjir itu juga telah dilaksanakan secara holistik dengan pendedahan simulasi situasi sebenar kepada pasukan sukarelawan yang terdiri dari enam kluster SV yang melibatkan mahasiswa, penjawat awam, serta komuniti setempat.

 

Sehingga kini, sebanyak 5,000 kotak barangan keperluan telah tersedia dan dikumpulkan di Pusat Pengumpulan Bantuan SV, hasil sumbangan daripada pelbagai pihak yang prihatin untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

 

Kesiapsiagaan jentera Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dibantu pelbagai jabatan dan agensi membolehkan gerak kerja menghulurkan bantuan kepada penduduk terjejas dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan fleksibel.

 

Pengurusan banjir pihak JPBN yang dipengerusikan oleh YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor telah mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Persekutuan, hasil dukungan kuat pasukan SV dalam menyampaikan bantuan kepada rakyat ketika berlakunya bencana dan juga memberi khidmat kerja pembersihan selepas banjir.

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor