KINI BANGSA JOHOR MAMPU MILIKI KEDIAMAN SENDIRI
#IskandarPuteri – Selepas kejayaan memberangsangkan dalam menyediakan inisiatif Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) kepada Bangsa Johor, sesekali tidak meletakkan Kerajaan Negeri berada dalam zon selesa kerana agenda kesejahteraan rakyat masih perlu diteruskan bagi memastikan semua limpahan ekonomi dalam agenda Maju Johor yang dikecapi masa kini dapat dirasai oleh semua lapisan rakyat di negeri ini.
Iltizam Kerajaan Negeri bagi memastikan semua Bangsa Johor berhak memiliki kediaman sendiri diteruskan dengan pengenalan inisiatif Rumah Kasih Johor (RKJ).
Berbeza dengan RMMJ, inisiatif RKJ pula memberi fokus untuk memastikan golongan rentan seperti miskin dan miskin tegar untuk turut sama berpeluang memiliki kediaman idaman sebagaimana rakyat yang lain tanpa ada yang terkecuali.
Inisiatif RKJ yang dimulakan pada tahun 2023 ini merupakan program bina rumah untuk membantu golongan yang tersenarai dalam daftar e-Kasih yang terdiri daripada golongan miskin atau miskin tegar tetapi mempunyai pemilikan tanah sendiri, di mana kos pembangunan kediaman itu akan dibiayai keseluruhannya oleh Kerajaan Negeri.
Bagi maksud itu, sejumlah 50 unit RKJ telah dibina di 10 daerah di Johor pada tahun 2023, sebelum ia ditambah kepada 120 unit pada tahun ini menerusi peruntukan sebanyak RM17 juta. Ia sekali gus mencerminkan iltizam Kerajaan Johor agar tiada rakyat tersisih dan masih hidup dalam serba kekurangan.
Keazaman ini terserlah apabila sebanyak RM36.15 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi membangunkan 328 unit RKJ pada 2025. Usaha murni ini akan turut melibatkan kerjasama Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Waqaf An-Nur serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Pemilihan peserta bagi program RKJ ini juga dilaksanakan secara telus menerusi Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pemilihan RKJ yang menyaksikan seramai 71 calon dari 10 daerah telah diluluskan setakat September lalu. Prosedur ini dilakukan bagi memastikan golongan sasaran yang benar-benar layak akan menerima bantuan daripada inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri ini.
Selain itu, beberapa penambahbaikan turut dilaksanakan antaranya kelonggaran syarat pemilikan tanah bagi pemohon menggunakan tanah milik ibu bapa atau ahli keluarga terdekat dengan kebenaran bertulis daripada pemilik tanah, selain inisiatif RKJ ini juga turut menyediakan beberapa pilihan reka bentuk kediaman baharu mengikut keperluan isi rumah pemohon.
Inisiatif RKJ ini bukan sahaja memberi sinar harapan kepada golongan memerlukan, tetapi juga mencerminkan aspirasi Kerajaan Johor untuk terus memperjuangkan kebajikan rakyat dan seterusnya menjadi satu lagi simbol kecemerlangan pentadbiran Kerajaan Negeri dalam mendahulukan kesejahteraan rakyat.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor