KISAH SI TANGGANG DI BUKIT TREH


Keadaan Bukit Treh kini yang dikatakan menjadi lokasi kisah Si Tanggang anak derhaka

 

MUAR — “Si Tanggang tersedar kejamnya laku, barulah teriak memanggil ibu, ibunya sudah tida di situ, seluruh bantera menjadi batu”

Itulah antara bait akhir rangkap syair tradisional mengenai kisah Si Tanggang anak derhaka yang menjadi hikayat dan pedoman suri teladan kepada masyarakat Melayu dari dahulu hingga kini.

Namun siapa sangka, karektor anak derhaka kepada sang ibu ini juga didakwa mempunyai kaitan dengan daerah ini atau lebih tepat di Kampung Bukit Treh.

Walaupun versi kisah sama seumpama ini turut dinukilkan dibeberapa lokasi di alam nusantara ini termasuk di Brunei dan Indonesia, namun bagi penduduk kampung mereka tetap yakin kisah popular berlaku di bukit kecil di penempatan berkenaan.

Bagi penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Ismail, berkata berdasarkan kisah orang tua dahulu, rupa bentuk Bukit Treh ini amat mirip dengan keadaan sebuah kapal yang terbalik.

Katanya, namun sayangnya apabila beberapa bahagian bukit berkenaan sudah ditarah bagi tujuan pembangunan iaitu jalan raya dan tanahnya juga digunakan bagi membina hospital.

“Dahulu saya saya difahamkan dalam tahun 1950-an keadaan bukit ini agak panjang dan kelihat seperti sebuah kapal dalam keadaan melingkup.

“Namun disebabkan pembangunan menyebabkan sebahagian besar bukit itu iaitu di bahagian selatan atau muncungnya ditarah bagi tujuan pengambilan tanah untuk pembangunan.

“Walaupun kisah Si Tanggang ini sering dianggap sebagai lagenda mitos, namun penemuan beberapa artifak seperti pelbagai jenis batuan yang biasanya ditemui di kawasan laut menguatkan lagi hikayat terbabit berlaku di sini,” katanya.

Ismail berkata, dahulu beberapa penduduk pernah mendakwa menemui beberapa artifak lain yang biasanya terdapat laut.

“Antaranya penemuan itu ialah peralatan besi dan tembikar. Kalau tak salah saya, ada juga penduduk menemui besi kapal ketika sedang mengorek tanah untuk pertanian.

“Lebih menguatkan cerita, di kaki Bukit Treh ini juga terdapat satu makam lama yang dipercayai milik ibunya Si Tanggang. Tidak jauh darinya terdapat satu batu pejal keras atau orang panggil batu hidup yang biasanya terdapat di pantai,” katanya.

Beliau berkata, tidak jauh daripada perkuburan ibu Si Tanggang itu juga terdapat sebuah gua kecil dan sudah agak tertimbus.

“Mengikut papan kenyataan yang didirikan di hadapan gua itu, terdapat lebih tiga penduduk kampung pernah masuk ke dalam gua berkenaan sebelum ia mengalami sedikit runtuhan akibat faktor semulajadi,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor