KKM UMUM ‘BERITA BAIK’ ATASI ISU PERKHIDMATAN KESIHATAN JOHOR
ISKANDAR PUTERI — Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan menerima 35 jururawat perjawatan tetap dan lain termasuk Penolong Perubatan Kesihatan serta beberapa jawatan kontrak lain yang sedang menunggu untuk disahkan.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, kementeriannya juga sudah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM771,600 bagi pembelian aset perubatan dan bukan perubatan.
Menurutnya, pembelian melibatkan set katil, Defib With Pacing, Basic Dinamp, Vital Sign 4 Channel, ECG Machine, Portable X-Ray Viewer itu untuk membolehkan dua wad Hospital Sultan Ismail (HSI) dibuka segera.
“Selain itu, waran peruntukan perbelanjaan mengurus sebanyak RM634,916 telah diturunkan juga kepada JKNJ bagi perolehan aset bukan perubatan (ABR) untuk memenuhi keperluan yang mendesak di HSI dan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan lawatan ke kedua-dua hospital tersebut dan membangkitkan isu berbangkit untuk tindakan penyelesaian segera.
Antara isu dibangkitkan adalah penutupan dua wad dan hanya 10 bilik pembedahan digunakan susulan kekurangan aset perubatan serta sumber manusia terutama pegawai perubatan dan jururawat.
Zaliha berkata, kesemua isu yang dibangkitkan itu sememangnya dalam perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)dan penyelesaian segera kini dalam tindakan bersama Agensi Pusat.
“KKM berterima kasih atas keprihatinan semua pihak dalam memastikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik diberikan kepada rakyat.
“Usaha sedemikian dengan pendekatan ‘keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat’ adalah antara perkara penting yang digariskan melalui Kertas Putih Kesihatan yang akan dibentangkan di Parlimen pada 13 Jun 2023,” katanya.
Sementara itu, Onn Hafiz mewakili Kerajaan Johor menzahirkan kesyukuran dan merakamkan terima kasih kepada KKM atas pemakluman tersebut.
“Syukur Alhamdulillah. Bagi pihak Kerajaan Negeri Johor, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dan pihak KKM atas perkongsian bantuan ini.
“Tidak lupa juga kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dato’ Dr. Zulkapli Mohamed dan Timbalan Ketua Setiausaha KKM, Dato’ Sri Norazman Ayob atas keprihatinan mereka turun padang tempoh hari,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor