RUJUK PENGHULU, KETUA KAMPUNG UNTUK SEMAKAN


Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md Ali berkata, daripada jumlah berkenaan, hanya 6,083 permohonan sahaja yang dikenalpasti layak menerima bantuan itu. | FOTO IHSAN, FB Pejabat Daerah Batu Pahat

 

ISKANDAR PUTERI — Pejabat Daerah Batu Pahat menerima 8,211 permohonan Bantuan Barang Keperluan Asas (BBKA) daripada mangsa banjir di daerah tersebut.

 

Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md Ali berkata, daripada jumlah berkenaan, hanya 6,083 permohonan sahaja yang dikenal pasti layak menerima bantuan itu.

 

Menurutnya, sehingga kini, seramai 5,000 Ketua Isi Rumah (KIR) bagi keluarga yang terjejas akibat kejadian banjir pada bulan Mac lalu, sudah menerima bantuan berkenaan.

 

“Baki (lagi) 1,083 KIR (yang layak terima bantuan) masih dalam proses pembayaran. Pembayaran akan dibayar secara berperingkat. Manakala, sebanyak 2,128 permohonan (didapati) tidak layak kerana tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Pejabat Daerah,” katanya ketika dihubungi Media Digital Johor, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berita sebuah akhbar tempatan mengenai bantuan BBKA yang dipersoalkan oleh mangsa banjir.

 

Nasri berkata, hasil semakan dilakukan mendapati tiga pengadu seperti dilaporkan iaitu Daud Anuar, Safiah Abdullah dan Shahrudin Abdullah telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 pada 25 Mac lalu, namun tiada rekod bagi Saunah Abdul Rahman dan Azmi Abdul Rahman.

 

Untuk permohonan BBKA pula, ujarnya, hanya seorang pengadu iaitu Daud Anuar layak menerima bantuan berjumlah RM2,500 namun belum disampaikan, manakala tiada rekod bagi empat yang lain.

 

“Bagaimanapun, pentadbiran ini telah meminta Penghulu dan Ketua Kampung untuk membuat semakan semula sekiranya penama (pengadu) telah membuat permohonan bagi BBKA,” katanya.

 

Beliau menegaskan tidak wujud ‘pilih-pilih’ dalam menguruskan permohonan, mengenalpasti kelayakan dan menyampaikan bantuan kepada mangsa di daerah tersebut.

 

“Kita masih membuat siasatan. Ini berdasarkan permohonan, maknanya siapa yang cepat buat permohonan dan layak, kita akan proses. Saya telah minta pegawai saya, jika betul dia (pengadu) cakap macam itu, dia (pengadu) perlu buktikan siapa (mangsa lain) yang dikatakan yang isi borang, kemudian sudah dapat,” katanya.

 

Nasri memberitahu, pihaknya juga akan menyimpan permohonan yang tidak layak untuk rujukan sekiranya pemohon ingin mendapatkan penjelasan lanjut.

 

“Bagi pemohon yang masih tidak menerima bantuan, boleh rujuk kepada ketua kampung masing-masing dan Pejabat Daerah untuk semakan status permohonan. Kita akan usahakan satu kaunter pertanyaan untuk mereka rujuk. Datang lagi mudah untuk mencari jalan penyelesaian. Kalau hendak datang, boleh sahaja anak mereka atau wakil, lagi senang kita untuk kenal pasti masalah,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor