KLINIK KESIHATAN KOTA TINGGI SIAP TAHUN 2024


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon menyatakan Klinik Kesihatan Kota Tinggi akan mula beroperasi pada hujung tahun hadapan. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Klinik Kesihatan Kota Tinggi yang sedang pembinaan bagi menampung keperluan perkhidmatan perubatan di daerah Kota Tinggi dijangka siap dan mula beroperasi pada hujung tahun hadapan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon memberitahu pembinaan klinik kesihatan jenis 3 baharu terletak dua kilometer dari Hospital Kota Tinggi itu dibangunkan dengan peruntukan RM24.97 juta dan kini mencapai 46.35 peratus tahap kemajuan projek di tapak.

 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sentiasa berusaha menambah baik kemudahan fasiliti termasuk di Hospital Kota Tinggi bagi menjamin mutu perkhidmatan dan penyampaian kesihatan yang berkesan kepada rakyat.

 

Antara usaha yang dilakukan adalah membina ruang menunggu bagi kemudahan pesakit luar untuk memastikan keselesaan pesakit dan waris selain membina Vacuum Insulated Evaporator (VIE) bagi pesakit dalam pada tahun lalu.

 

Selain itu, pembinaan Hospital Pengajar Universiti (HPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Sedili, Kota Tinggi seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri yang dijangka bermula tahun hadapan dengan peruntukan kira-kira 938 juta bakal membantu menampung kepadatan pesakit di Hospital Kota Tinggi.

 

Tian Soon berkata demikian ketika menjawab soalan Rashidah Ismail (Ahli Dewan Negeri Pasir Raja) sama ada Kerajaan Negeri bercadang bina hospital daerah yang baharu di Kota Tinggi bagi menampung kepadatan pesakit di hospital sedia ada.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor