JOHOR KEKAL LARANGAN ROKOK ELEKTRONIK, VAPE


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor menyampaikan juadah bersahur kepada warga JBPM Negeri Johor sempena program Singgah Sahur KMJ 2023.

 

ISKANDAR PUTERI — Johor kekal dengan larangan penjualan rokok elektronik dan vape di negeri ini, seperti yang dikuatkuasakan sejak tujuh tahun lalu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, sejak 1 Januari 2016, kerajaan negeri dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) telah memutuskan tidak membenarkan kegiatan itu.

 

“Keputusan kerajaan itu masih kekal sehingga hari ini. Maknanya, di Johor memang kita larang untuk mereka jual beli vape atau e-rokok atau rokok elektronik. Tapi saya tahu ada juga pihak yang buka (jual). Sebab itu dalam syarat lesen (perniagaan) memang ditulis tidak dibenarkan buat perniagaan untuk e-rokok ini.

 

“Di peringkat PBT, boleh membatalkan lesen premis (yang menjual) tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Singgah Sahur 2023 anjuran Kelab Media Johor (KMJ), hari ini.

 

Ditanya sama ada terdapat premis telah diambil tindakan, Mohd Jafni berkata, setakat ini, belum ada aduan yang diterima terutama di peringkatnya.

 

“Mungkin mereka tidak tahu benda itu (peniagaan rokok elektronik dan vape) salah. Pasal dasar ini (keputusan) sebenarnya kelulusan di peringkat tahun 2016 yang lepas.

 

“Jadi, setakat ini, tiada aduan. Bila ada aduan, kita ambil tindakan. Di peringkat PBT, kalau memang nampak benda itu, biasanya kita ambil tindakan dan membatalkan lesen (perniagaan),” katanya.

 

Mengulas mengenai pelaksanaan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik (e-rokok) pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml) oleh Kerajaan Persekutuan bermula 1 April lalu, Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri memahami mengenai perkembangan terbaharu itu.

 

“Di peringkat Pusat, sudah ada kebenaran seperti itu. Jadi kita tunggu arahan di peringkat Kerajaan Persekutuan. Setakat ini, kita (kerajaan negeri) tidak mendapat hitam putih dari segi arahan tentang pengharaman vape ini. Tapi di peringkat kerajaan (negeri), kita masih menggunakan dasar keputusan yang lama pada tahun 2016,” katanya lagi.

 

Johor menjadi negeri terawal melarang dan tidak membenarkan penjualan rokok elektronik dan vape berkuatkuasa 1 Januari 2016 susulan titah DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bahawa kegiatan tersebut diharamkan di negeri ini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor