KOLEKSI ANTIK SEJARAH JOHOR
Oleh Farhanah Haziqah Noh
Siapa sangka dengan hanya sekadar hobi dan semangat cintakan negerinya menyebabkan seorang anak kelahiran Pengerang, Kota Tinggi, Johor akhirnya berjaya membuka galeri sejarah yang memaparkan pelbagai artifak berkaitan sejarah Johor.
Pemilik Galeri Sejarah Johor, Fariz Johari, memberitahu galeri terbabit menyimpan pelbagai koleksi artifak seperti wang syiling lama, senjata seperti keris dan pedang, barangan antik dari zaman Perang Dunia Kedua dan gambar lama termasuk Pegawai Tadbir Kerajaan Johor (JCS).
“Galeri Sejarah Johor ini wujud selepas pertemuan saya bersama YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Ibni Sultan Ibrahim kira-kira setahun lalu yang memberi dorongan dan inspirasi untuk membuka galeri ini. Saya juga minat meneroka hutan di Johor yang akhirnya membawa penemuan pelbagai khazanah berharga.
“Dari segi koleksi barangan antik pula ia sangat berharga dan ia dipilih dengan teliti sebelum dipamerkan kepada pengunjung. Malah, sesetengannya mempunyai ceritanya yang tersendiri dan yang paling unik ialah patung pahlawan Jepun yang dibeli daripada seorang penduduk di Pontian,” katanya kepada Media Digital Johor.
Fariz berkata, disebabkan oleh minatnya yang begitu mendalam dalam bidang Sejarah Johor menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk membuka galeri berkenaan kerana ingin berkongsi pengalaman dan hobinya, selain ingin memupuk semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air.
Justeru katanya, orang ramai boleh merasai sendiri apa yang terdapat di Galeri Sejarah Johor di Komtar JBCC yang dibuka pada setiap jam 10 pagi hingga 10 malam dan masuk adalah percuma.
Butiran Galeri Sejarah Johor seperti beriku:
🏛️ Galeri Sejarah Johor @ Komtar JBCC Aras 1
🕰️ 10 pagi – 10 malam
💸 Masuk Percuma
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor