MENTALITI MENANG JDT KINI JADI INSPIRASI KEPADA SEMUA SUKAN DI JOHOR


Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu FC dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Siapa sangka dalam tempoh 10 tahun, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya melakar rekod bersejarah sebagai satu-satunya pasukan di Malaysia yang memenangi kesemua piala domestik selama dua tahun berturut-turut.

Kepimpinan dan kewibawaan DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang sentiasa menerapkan mentaliti menang kepada setiap barisan pengurusan dan pemain ternyata menjadi faktor penting kepada kejayaan JDT. Selain itu, fasiliti sukan terbaik, kemudahan sains sukan dan juga sokongan moral Baginda terhadap pasukan telah berjaya mengekalkan kejuaraan selama 10 tahun.

Imbas kembali kejayaan kontinjen Negeri Johor dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-20, tahun lalu, di mana menyaksikan Johor membawa pulang 77 pingat emas, 52 pingat perak dan 43 pingat gangsa, sekali gus memahat sejarah muncul juara keseluruhan kejohanan dwi-tahunan berkenaan. Kejayaan kontinjen Johor tersebut juga merupakan kali pertama dalam sejarah 36 tahun penganjuran SUKMA.

Ketua kontinjen SUKMA Johor, Datuk Muhamad Najib Samuri mengakui aura JDT sememangnya menemani setiap atlet kontinjen Johor yang berjuang, selain daripada inisiatif Persatuan Sukan lain yang turut menambah baik fasiliti mereka dengan mengambil contoh sebagaimana yang telah dilakukan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor kepada pasukan bola sepak.

Pengendali Johor Jewels, Tracie Robinson turut mengakui bahawa skuad bola jaring Johor Jewels turut mencontohi aspirasi ‘winning mentality’ dari JDT. Beliau turut menjadikan JDT sebagai inspirasi kerana untuk sesebuah pasukan menang 10 kali berturut-turut adalah sesuatu yang luar biasa dan amat sukar dilakukan tetapi tidak mustahil.

Hasilnya, skuad Johor Jewels berjaya mempertahankan kejuaraan Netball Super League selama dua tahun berturut-turut dan lebih manis, skuad kendalian Tracie mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kesemua sembilan perlawanan.

Selain daripada itu, mentaliti menang ini juga turut diterapkan dalam pasukan Futsal JDT, skuad Hoki Ais JDT dan pasukan Ragbi JDT. Sukan permotoran JDT juga turut menjadikan Skuad Harimau Selatan itu sebagai inspirasi untuk terus mencipta kegemilangan pada masa akan datang.

“Di JDT, semuanya adalah mengenai ‘Winning Mentality’. Saya ‘push’ para pemain saya ‘to the limit’. Lama-kelamaan ia menjadi satu ketagihan.” – DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

 

#TheTMJeffect #DoubleQuadruple #DecadeOfDominance #WhatCanYouDo #JDTfamily #SukanMDJ