‘PUSH BIKE’ ASAH KEYAKINAN SI CILIK DALAM BIDANG SUKAN


Aksi si cilik dalam acara perlumbaan Johore Run Bike Cup. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Oleh Suhana Mohd Ariffin 

 

Seramai 291 peserta kanak-kanak bersaing dalam acara perlumbaan Johore Run Bike Cup pusingan ketiga yang diadakan di Plaza Angsana, Johor Bahru.

 

Perlumbaan ini adalah kesinambungan pusingan sebelumnya telah diadakan pada Jun dan September lalu yang dianjurkan oleh Dark Horse Push Bike Club.

 

Acara ini merupakan salah satu aktiviti sukan basikal imbang atau dikenali sebagai ‘Push Bike’ di mana kanak-kanak perlu menggunakan kekuatan pada otot kaki untuk mengayuh. Malah, sukan berbasikal ini juga dapat memupuk semangat keyakinan dalam kalangan kanak-kanak terutama pada usia seawal dua tahun lagi.

 

Kejohanan kali ini melibatkan peserta dari dua hingga sembilan tahun yang berasal dari lima negara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Amerika Syarikat. Johor Run Bike Cup ini juga turut dibahagikan kepada tujuh kategori iaitu dua tahun, tiga tahun, empat tahun, lima tahun, enam tahun, tujuh tahun serta terbuka lelaki dan perempuan.

 

Muhammad Noah mengungguli acara Pushbike kategori dua tahun manakala Raden Keano pula menjuarai kategori tiga tahun. Aksi bagi kategori empat tahun pula dimenangi oleh Wan Ayden Maleeq ; Muhammad Uwais (juara kategori lima tahun), Nor Adam Harris (juara kategori enam tahun), Mikael Kenobi La Harza (juara kategori tujuh tahun) dan juara kategori terbuka perempuan disandang oleh Nur Zara Sofea manakala kategori terbuka lelaki pula dimenangi oleh Muhammad Amir Khan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor