KOMITMEN MEDIA DIGITAL JOHOR TANGANI MAKLUMAT PALSU


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Media Digital Johor (MDJ) akan bekerjasama dengan pelbagai pihak berkaitan bagi menangani penyebaran maklumat palsu untuk tujuan perundangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, pihak tersebut adalah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), CyberSecurity Malaysia, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pihak MDJ akan mengadakan kerjasama dengan pihak SKMM, CyberSecurity Malaysia, JPDP serta PDRM bagi tujuan mengesan dan mengenalpasti pihak-pihak atau individu yang tidak bertanggungjawab dalam menyebar luas maklumat palsu dan tidak benar bagi tujuan proses perundangan.

“Beberapa sesi perbincangan akan diadakan bersama pemegang-pemegang taruh berkaitan bagi mencapai satu bentuk kerjasama yang dapat digunapakai bagi tujuan membendung bukan sahaja berita palsu malah juga dari segi perundangan yang boleh dikuatkuasa kepada pesalah-pesalah siber ini,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapan perbahasan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri mencadangkan agar MDJ diberikan tugas yang lebih mencabar dalam berperanan untuk menangani isu maklumat tidak sahih.

Sementara itu, dalam ucapan sama, Norlizah berkata, JohorPay akan dijadikan platform bersepadu kerajaan negeri dan terimaan bayaran agensi bakal dilaksanakan secara berperingkat bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Dengan hala tuju untuk memusatkan semua pembayaran berkaitan agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan juga perkhidmatan kerajaan seperti bayaran balik pinjaman pelajaran Yayasan Pelajaran Johor dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Selain itu, JohorPay juga merancang akan diperluaskan bagi pembayaran utiliti seperti bil telefon, elektrik dan air serta bekerjasama dengan PUJB di mana akan datang bagi membolehkan JohorPay dimaksimumkan fungsi dan peranannya sebagai platform pembayaran yang akan membantu usahawan di Negeri Johor,” katanya.

Beliau turut memaklumkan SKMM sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan liputan telekomunikasi dan internet di kawasan perkampungan orang asli di mana perancangan Jalinan Digital Negara (JENDELA) turut mengambil kira pembangunan di kumpulan masyarakat itu.

“Melalui JENDELA Fasa 1, terdapat 13 menara sedang dalam pelaksanaan yang bakal memberi manfaat kepada seramai 4,078 penduduk di 14 kampung orang asli antara PETA di Mersing, Seri Tembayan, Kudong dan Kemidak di Segamat.

“Selain itu, SKMM juga telah siap membangunkan 16 menara telekomunikasi sebelum ini di bawah program pembangunan infrastruktur luar bandar yang memberi liputan kepada telekomunikasi dan internet kepada 16 kampung orang asli.

“Selain itu, 13 kampung orang asli sudah mempunyai liputan daripada menara telekomunikasi yang dibangunkan pihak penyedia perkhidmatan secara komersil manakala baki 16 kampung orang asli masih belum mempunyai peruntukan untuk pembinaan menara telekomunikasi,” katanya.

Norlizah juga memberitahu sebuah menara telekomunikasi telah dibina di Kampung Paya Redan dan 10 stesen pemancar dinaik taraf kepada teknologi 4G bagi menambah baik kualiti liputan di Pagoh di bawah JENDELA Fasa 1.

“Bagi meningkatkan mutu liputan di Sungai Balang, SKMM mempunyai perancangan untuk membina dua menara telekomunikasi di Kampung Sungai Balang Darat dan Kampung Sungai Balang Kechil Darat di bawah peruntukan JENDELA fasa akan datang.

“Inisiatif JENDELA Fasa 1 bagi DUN Pasir Raja merangkumi perancangan pembinaan empat buat menara pemancar 4G baharu, penaiktarafan 56 stesen pemancar kepada teknologi 4G serta penyediaan sambungan gentian optik kepada 5,526 premis yang dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya suku keempat tahun 2023,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor