RANCANG BANGUNKAN 1,325 HEKTAR KAWASAN TANAMAN KELAPA MENJELANG 2027


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor merancang membangunkan kawasan tanaman kelapa seluas 1,325 hektar dengan unjuran pengeluaran sebanyak 124,313 tan metrik menjelang tahun 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip berkata, bagi mengekalkan Johor sebagai pengeluar utama kelapa, kerajaan merancang memberi fokus kepada tanaman itu.

“Johor merupakan pengeluar benih kelapa utama dalam negara. Namun, keperluan benih kelapa setahun dianggarkan sebanyak 53,000 benih kelapa.

“Ianya tidak mencukupi kerana kemampuan pengeluaran benih kelapa yang dikeluarkan oleh Pusat Pertanian Jorak (Pusat Bekalan Benih Kelapa) ialah sekitar 28,000 benih kelapa setahun,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Kukup, Dato’ Jefridin Atan mengenai inisiatif kerajaan negeri membantu peladang meningkatkan kembali penanaman pokok kelapa di Johor.

Zahari berkata, kerajaan negeri merancang meningkatkan lagi pengeluaran benih kelapa dengan memperkasakan pusat pengeluaran benih kelapa di Kong Kong, Masai dan Parit Botak, Batu Pahat.

Ujarnya, menjadi dasar kerajaan negeri bagi setiap permohonan tanah kerajaan untuk mengusahakan tanaman pertanian dengan menggalakkan penanaman kelapa.

“Kawasan-kawasan kelapa baru juga turut diwujudkan di kawasan KEJORA Kota Tinggi dan Projek Pertanian Moden Kluang.

“Program-program menggalakkan rakyat untuk menanam kelapa juga diwujudkan melalui program bantuan benih kelapa bagi meningkatkan lagi keluasan tanaman seterusnya meningkatkan pengeluaran kelapa,” katanya.

Beliau turut memberitahu Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM500,000 terhadap program pemulihan atau tanam semula kelapa Negeri Johor melibatkan kawasan seluas 463 hektar pada tahun ini.

Manakala pada tahun ini juga, katanya, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM400,000 terhadap program pemulihan atau tanam semula kelapa Negeri Johor seluas 96 hektar.

Untuk rekod, kelapa merupakan antara tanaman utama di Johor terutama di Batu Pahat, Pontian dan Muar.

Pada tahun lalu, keluaran tanaman kelapa di Johor adalah seluas 12,151 hektar melibatkan 9,898 pengusaha dengan hasil keluaran 118,278 tan metrik sekali gus melebihi anggaran keperluan permintaan iaitu kira-kira 105,000 tan metrik setahun.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor