KOMPLEKS BOLA JARING CHE PUAN KHALEEDA JOHOR PENCETUS PEMBANGUNAN AKAR UMBI
YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor selaku Penaung Diraja Persatuan Bola Jaring Negeri Johor berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Kompleks Bola Jaring Che’ Puan Khaleeda Johor di Taman Suria, Johor Bahru pada hari ini.
Kompleks yang lengkap dengan pelbagai fasiliti seperti ruang persalinan, kemudahan sukan bola jaring dan asrama pemain, secara tidak langsung merealisasikan impian Che’ Puan Mahkota Khaleeeda Johor untuk melihat pembangunan bola jaring di Negeri Johor menjadi lebih lancar dan cemerlang.
Sementara itu, YB Alwiyah Talib, Presiden Persatuan Bola Jaring Johor mengakui Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi sumber inspirasi kepada pihak persatuan untuk pergi lebih jauh dalam sukan bola jaring.
“Pihak persatuan berterima kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dan YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor yang bukan sahaja sering memberi sokongan dan peruntukan, tetapi juga kebanyakan peralatan dalam kompleks ini adalah hasil tajaan daripada Baginda.
“Saya berharap agar sukan bola jaring menjadi lebih maju dan setiap negeri juga mungkin boleh mempunyai fasiliti sebegini untuk meningkatkan kualiti dan prestasi pasukan masing-masing serta seterusnya membawa hasil positif kepada skuad kebangsaan pada masa akan datang,” ujar YB Alwiyah.
Kompleks Bola Jaring Che’ Puan Khaleeda Johor akan menjadi sebuah pusat latihan yang akan memfokuskan pengumpulan bakat-bakat baharu bola jaring Negeri Johor di bawah kendalian jurulatih kelahiran Australia, Tracie Robinson.
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor