KOMUNITI DIGALAK LAPOR PENDERAAN KANAK-KANAK


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa menggalakkan orang awam atau komuniti bersama memastikan penderaan kanak-kanak tidak berlaku dengan melaporkan di Pejabat Kebajikan Masyarakat berdekatan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, Talian Kasih 15999 beroperasi 24 jam sehari juga disediakan bagi memudahkan laporan kejadian penderaan kanak-kanak dibuat.

 

“Sekiranya berlaku penderaan, adalah menjadi kewajipan ibu bapa atau ahli keluarga untuk melaporkan perkara tersebut kepada pelindung di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah seperti di bawah Seksyen 28(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

 

“Manakala ibu bapa atau penjaga yang merasakan diri mereka tidak dapat mengawal keadaan diri terutama apabila tertekan bolehlah mendapatkan bantuan yang diperlukan seperti khidmat kaunseling yang disediakan secara percuma oleh agensi-agensi kerajaan yang terdapat di negeri Johor,” katanya pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Parit Raja, Nor Rashidah Ramli mengenai tindakan yang sewajarnya perlu diambil oleh komuniti jika berlaku kes penderaan kanak-kanak.

 

Khairin-Nisa turut memaklumkan Bahagian Psikologi dan Kaunseling JKM Negeri Johor sentiasa membantu klien untuk mendapatkan perkhidmatan.

 

Antaranya, menyantuni dengan melihat kepada tahap keseriusan setiap klien yang akan dibantu melalui sesi kaunseling, sokongan dan ujian psikologi mengukur personaliti, tahap kesihatan mental, hubungan kekeluargaan dan sebagainya.

 

“Program-program yang bersesuaian dan diperlukan oleh mereka juga dilaksanakan terutamanya program-program pencegahan dan psiko-pendidikan bagi mengelakkan klien melakukan tingkah laku yang kurang rasional seperti penderaan.

 

“Sekiranya klien memerlukan bantuan lanjut, kaunselor JKM Negeri Johor akan membantu merujuk klien berkenaan kepada agensi lain supaya klien dapat dibantu secara menyeluruh,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor