436 NELAYAN DUN KOTA ISKANDAR BERDAFTAR PERKESO


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 436 nelayan di DUN Kota Iskandar berdaftar dengan PERKESO dan ditolak caruman setahun sekali secara automatik daripada pembayaran elaun sara hidup.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip berkata, jumlah caruman tersebut adalah sebanyak RM157.20 setahun.

 

“Mana-mana nelayan yang berlesen dan menerima elaun sara hidup memang akan dicarum secara automatik.

 

“Bagaimanapun, bagi nelayan yang tiada lesen tetapi menjadi ahli Persatuan Nelayan Kawasan, mereka juga boleh mencarum sendiri dengan penyelarasan oleh pihak Persatuan Nelayan Kawasan masing-masing,” kata beliau pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad mengenai jumlah nelayan dan petani bekerja sendiri di DUN tersebut yang mencarum PERKESO.

 

Zahari memberitahu terdapat sembilan buah kampung di kawasan DUN Kota Iskandar yang mempunyai komuniti nelayan berdasarkan maklumat daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

 

Kesemua kampung tersebut adalah Kampung Pendas, Sungai Melayu, Kampung Melayu Gelang Patah, Kampung Pok, Sungai Che Manan, Kampung Sungai Melayu, Tiram Duku, Simpang Arang dan Tebing Runtuh.

 

Selain itu, katanya, sejak tahun 2017 hingga 31 Januari lalu, seramai 59 Orang Berinsurans Bekerja Sendiri (OBBS) di DUN Kota Iskandar menerima manfaat caruman disebabkan kes kemalangan berkaitan pekerjaan, dengan nilai pembayaran faedah RM227,650.

 

Berdasarkan statistik PERKESO, sehingga 12 Februari 2023, terdapat seramai 287,000 OBBS dalam negeri Johor.

 

Daripada jumlah tersebut, 149,743 orang adalah terlibat dalam sektor pertanian yang mana telah berdaftar dan mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor