YWJ KOMITED JADIKAN KWSAB HAB KOMPLEKS WARISAN TERBAIK


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar.

 

ISKANDAR PUTERI — Yayasan Warisan Johor (YWJ) sentiasa mengambil langkah proaktif dalam memperkenalkan warisan sejarah, seni dan budaya negeri ini, kepada masyarakat dari dalam dan luar negara menerusi Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB).

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar berkata, usaha itu dilakukan menerusi program ‘Let’s Visit KWSAB’ yang menawarkan lawatan berpandu dipimpin kakitangan YWJ ke empat lokasi utama kompleks iaitu Rumah Limas Johor, Rumah Zapin, Galeri Seni Johor dan Galeri Tenun Johor.

 

“Menerusi kempen yang dilancarkan pada Ogos 2022 ini juga, YWJ telah mencatatkan peningkatan jumlah pelawat ke KWSAB sebanyak 79 peratus bersamaan 5,652 pelawat berbanding 1,200 pelawat pada tahun sebelumnya oleh kerana ketidaktentuan keadaan semasa fasa COVID-19,” katanya pada Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Pasir Raja, Rashidah Ismail mengenai perancangan kerajaan negeri dalam menjadikan KWSAB sebagai hab kompleks warisan terkenal di Malaysia.

 

Raven Kumar berkata, peranan dan keberadaan KWSAB juga telah diperkukuh dengan dijadikan sebagai lokasi wajib henti untuk memperkenalkan khazanah warisan sejarah, seni dan budaya negeri Johor kepada tetamu kehormat kerajaan negeri.

 

Selain itu, katanya, YWJ turut dijadikan tempat rujukan bagi pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk mendapatkan maklumat mengenai sejarah dan budaya warisan negeri Johor.

 

“YWJ akan terus mempergiat strategi promosi program Let’s Visit KWSAB secara bersasar dengan memperluas undangan lawatan dan aktiviti.

 

“YWJ sentiasa membuat publisiti di media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok untuk memperkenalkan budaya dan warisan negeri Johor,” katanya.

 

Justeru, beliau memberitahu kerajaan negeri melalui YWJ komited dalam menjadikan KWSAB sebagai pusat rujukan utama dalam bidang sejarah, warisan, seni dan budaya negeri Johor.

 

“Selain memainkan peranan sebarang pemegang taruh utama dalam mempamer dan menyebar luas keunikan budaya Johor untuk manfaat orang ramai,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor