KOPERASI KOMUNITI HYBRID SELATAN BHD ADA POTENSI ‘GO GLOBAL’


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah melawat ladang yang menempatkan kira-kira 800 ternakan arnab pedaging ini yang dipelihara dalam kawasan yang bersih, diselenggara dan bersistematik. | Foto ihsan Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Johor diminta supaya terus memantau perkembangan Koperasi Komuniti Hybrid Selatan Berhad termasuk membantu perniagaan terbabit menembusi pasaran yang lebih luas.

 

Ia susulan daripada kejayaan yang ditunjukkan oleh koperasi yang berpangkalan di Kampung Sri Jaya, Tangkak itu yang menjalankan perniagaan ternakan arnab pedaging bagi termasuk dalam bentuk sejuk beku.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah, berkata pihaknya yakin dengan sistem yang sistematik dan bersepadu akan membolehkan koperasi terbabit mengorak langkah lebih lanjut dalam industri berkenaan kelak.

 

Katanya, lebih menarik koperasi terbabit yang mempunyai 25 ahli dan kesemuanya menjalankan kegiatan menternak arnab pedaging dengan terdapat ahlinya dari Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru yang turut menjalankan aktiviti ini di kediamannya.

 

“Alhamdulillah, saya sempat menyempurnakan majlis perasmian Kedai Frozen Koperasi Komuniti Hybrid Selatan Berhad yang menempatkan produk hiliran berasaskan arnab dalam bentuk sejuk beku.

 

“Sememangnya dengan melihat sendiri keupayaan serta kesungguhan koperasi ini termasuk adanya penggemar daging arnab membolehkan mereka mengembangkan lagi pasaran, termasuk menembusi pasaran luar negara kelak,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya.

 

Hadir sama dalam lawatan itu ialah Pengarah SKM Johor, Fadilah Salim; Timbalan Pengarah SKM Johor, Akram Hassan; Pengerusi ANGKASA Negeri Johor, Sazali Abd Hamid dan Pengerusi Koperasi Komuniti Hybrid Selatan Berhad, Zulikram Ramli.

 

Terdahulu, beliau turut melawat ladang yang menempatkan kira-kira 800 ternakan arnab pedaging ini yang dipelihara dalam kawasan yang bersih, diselenggara dan bersistematik.

 

Mohd Hairi berkata, berdasarkan rekod, koperasi ini juga telah menerima bantuan Koperasi Prihatin Rakyat (KPR) berjumlah RM75,000.00 pada 22 November lalu bagi tujuan menaik taraf premis koperasi yang merangkumi ubahsuai bangunan, mesin POS, chiller dan rak pameran.

 

“Koperasi ini juga antara yang tersenarai dalam pelaksanaan ‘Groom Big’ Produk Koperasi menerusi peruntukan RM200,000 yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 lalu yang bertujuan membangunkan produk melalui penjenamaan, pembungkusan, pelabelan dan pensijilan halal.

 

“InsyaAllah, saya akan meminta pihak SKM Johor untuk terus memantau koperasi ini khususnya bagi membantu meluaskan pasaran ke peringkat lebih tinggi. Kejayaan seperti ini diharapkan menjadi pemangkin kepada koperasi lain memajukan perusahaan mereka serta memberi manfaat kepada anggota mereka kelak,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor