WONDERFUL NUSANTARA FESTIVAL 2023 PENYATUAN BUDAYA DUA NEGARA


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar menyerahkan Nasi Tumpeng kepada Konsul Jenderal Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit S. Widiyanto simbolik gimik perasmian Wonderful Nusantara Festival (WNF) 2023. | Foto Ihsan Yayasan Warisan Johor.

 

JOHOR BAHRU — Penganjuran Wonderful Nusantara Festival (WNF) 2023 buat julung kali berjaya menyatukan dua negara dalam konteks warisan dan budaya.

 

Hadir menyempurnakan perasmian program silang budaya tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar, semalam.

 

WNF 2023 mempamerkan kerencaman budaya Malaysia terutama Johor dengan Indonesia menerusi persembahan silang budaya, pameran sajian warisan, bahasa dan persuratan, seni lukis serta permainan tradisional.

 

Raven Kumar berkata, festival itu juga mengetengahkan keunikan persembahan tarian oleh empat persatuan pelajar Indonesia di Malaysia, tujuh sekolah di negeri Johor selain artis budaya Yayasan Warisan Johor (YWJ).

 

Beliau mengagumi penganjuran WNF 2023 dan menyifatkan festival berkenaan sebagai inisiatif yang baik kerana mengetengahkan elemen budaya.

 

“Bila kita katakan tentang budaya, di mana-mana negara ialah asas kita. Pelajar sekolah kena tahu budaya. Tanpa budaya, ke mana kita pergi, kita tidak boleh pergi jauh. Itu sejarah.

 

“Kalau tengok sejarah Empayar Rom atau lain-lain, semua bercakap pasal budaya mereka. Kalau kita nak negara maju dan ke hadapan, anda perlu tahu pasal budaya,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

 

Raven Kumar berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan cadangan Konsul Jenderal Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit S. Widiyanto untuk menganjurkan festival itu pada tahun hadapan.

 

Sementara itu, Sigit memberitahu hasrat menganjurkan program silang budaya itu telah dizahirkan oleh Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani kepadanya dalam pertemuan pada tahun lalu.

 

“Waktu itu, ada persembahan tarian. Beliau (YB Tan Sri) bertanya kenapa kita tidak buat tahun depan sebuah program pertukaran budaya.

 

“Dari situ, Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) bersama YWJ merancang penganjuran aktiviti budaya secara bersama,” katanya.

 

Beliau berkata, pada awal perbincangan, aktiviti yang mahu dianjurkan hanya bagi melestarikan budaya Malaysia khususnya Johor dan Indonesia.

 

“Namun, berkembang dalam perbincangan, kita lebih ‘targeted’. Kemudian peserta adalah generasi penerus bangsa. Anak muda, pelajar dan mahasiswa yang nanti akan menjadi pemimpin kedua-dua negara pada masa hadapan.

 

“Kita berharap dengan (usaha) ini, pelajar kita, generasi muda kita, saling bertemu, bekerjasama sehingga nanti ketika mereka sudah memiliki jabatan penting di negara, hubungan (Malaysia terutama Johor dengan Indonesia) akan semakin akrab,” katanya.

 

WNF 2023 berlangsung di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, di sini, merupakan anjuran bersama YWJ dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dengan KJRI.

 

Turut hadir, Pengarah YWJ, Sharil Nizam Abdul Rahim serta Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor (Sektor Pembangunan Murid), Musa Atan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor