SETIAUSAHA KERAJAAN JOHOR TERIMA DARJAH KEBESARAN PERSEKUTUAN


Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani.

 

ISKANDAR PUTERI — Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani dikurniakan Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia, Panglima Setia Mahkota (P.S.M) daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 

Kurniaan darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ itu diterima dalam Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

 

Untuk makluman, darjah kebesaran tersebut telah dikurniakan kepada Setiausaha Kerajaan Johor dalam Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2022 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda pada tahun lalu.

 

Berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (Pentadbiran dan Pembangunan Tanah) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani juga menerima kurniaan pingat dan darjah kebesaran dari Negeri Johor.

 

Antaranya, Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama, Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J) dan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (D.M.I.J).

 

Kedua-dua darjah kebesaran kurniaan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar itu membawa gelaran Dato’.

 

Selain itu, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani turut dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Ketiga, Setia Mahkota Johor (S.M.J) serta Pingat Ibrahim Sultan, Pangkat Kedua (P.I.S II).

 

Beliau yang dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Johor bermula 1 Januari 2017 juga merupakan Pro-Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).

 

Berkat kecemerlangan kepimpinannya menerajui Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor sebagai Setiausaha Kerajaan Johor, sebanyak lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Johor telah berjaya dinaik taraf.

 

Kesemua PBT itu adalah Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP); Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG); Majlis Perbandaran Segamat (MPS); Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) serta Majlis Perbandaran Pontian (MPPn).

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor