KOPI LIBERIKA JOHOR ‘SIGNATURE’ BAHARU JOHOR
Kopi Liberika Johor bakal menjadi simbol kebanggaan Negeri Johor menerusi usaha pengeluaran benihnya, hasil kolaborasi antara Pejabat Pertanian Daerah Batu Pahat dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang bertujuan memastikan Kopi Liberika Johor didaftarkan sebagai produk di bawah pemilikan Kerajaan Negeri.
YBrs. Ts. Dr. Mohd Zuhan Mohd Zain, Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menyatakan pendaftaran akan dibuat menggunakan komponen petunjuk geografi untuk menandakan bahawa kopi tersebut adalah keluaran asli Johor, termasuk pemilihan nama yang tepat dan mampu mencerminkan identiti negeri serta nilai-nilai lokaliti yang unik.
Beliau berkongsi perkara tersebut semasa lawatan kerja ke Pusat Pengeluaran Benih Kopi Liberika di Pusat Pertanian Parit Botak, Batu Pahat, semalam.
Sehingga tahun 2023, sejumlah 273,741 benih kopi Liberika telah dihasilkan sejak tahun 2016 dan diberikan kepada pengusaha tempatan yang memohon. Pengeluaran ini melibatkan tanah seluas 402 hektar, merangkumi kawasan di daerah Pontian dan Kluang.
Memiliki keunikan dari segi saiz yang lebih besar berbanding jenis kopi lain seperti Robusta dan Arabika, Kopi Liberika mempunyai keupayaan tumbuh di tanah rendah dan persekitaran yang lebih lasak menjadikan Johor lokasi yang tepat, selain kandungan kafein yang sederhana dan keasidan yang rendah membuatkan ia pilihan yang perlu dicuba oleh penggemar kopi.
Melalui penjenamaan yang didaftarkan dengan MyIPO, diharapkan nilai pasaran benih Kopi Liberika dapat dipertingkatkan, sekali gus memberikan manfaat ekonomi kepada pengusaha yang terlibat. Dengan pengiktirafan ini, Kopi Liberika Johor berpotensi menjadi ‘signature’ baharu yang mencerminkan keunikan Johor serta pilihan destinasi agro pelancongan.
Lawatan tersebut turut dihadiri Mufiddah Mohamad, Pegawai Pertanian Daerah Batu Pahat dan SH. Arifin SH. Mohd Noor, Penolong Ketua Pengarah MyIPO, sekali gus mencerminkan komitmen memajukan industri pertanian di Johor melalui inovasi dan penjenamaan produk tempatan.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor