KPJ HEALTHCARE, NCSM TANDATANGANI MOU SEDIA PERKHIDMATAN SARINGAN KANSER


KPJ Healthcare menerusi hospitalnya di Wilayah Selatan menandatangani MoU bersama NCSM bagi menyediakan perkhidmatan saringan kanser kepada golongan berpendapatan rendah.

 

ISKANDAR PUTERI — KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) melalui Hospital Pakar KPJ Johor (KPJ Johor) dan Hospital Pakar KPJ Kluang (KPJ Kluang) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

 

MoU tersebut ditandatangani bagi hospital KPJ di Wilayah Selatan menyediakan perkhidmatan saringan kanser kepada individu berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan yang menetap di negeri ini, selama tempoh setahun.

 

Menandatangani MoU tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Healthcare Wilayah Selatan, Mohd Azhar Abdullah bersama Ketua Jabatan Klinik Saringan Kesihatan dan Kanser NCSM, Dr. Dalilah Kamaruddin yang disaksikan oleh Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare Berhad, Norhaizam Mohammad.

 

Norhaizam berkata, KPJ Healthcare mengalu-alukan jalinan kerjasama berterusan dengan NCSM yang membolehkan lebih ramai wanita mendapatkan bantuan diperlukan.

 

“Perjanjian ini telah dimeterai sejak lima tahun yang lalu antara hospital kami dan NCSM. Oleh kerana prestasi perkhidatan kami yang memuaskan, NCSM sekali lagi menjalinkan kerjasama bersama KPJ.

 

“Sehingga kini, lebih 2,000 wanita telah disaring melalui program-program yang telah dianjurkan di hospital KPJ Wilayah Selatan,” kata beliau.

 

Sementara itu, Dr. Dalilah berkata, NCSM tidak pernah berhenti untuk membantu golongan sasaran selari dengan matlamatnya, untuk terus menyediakan perkhidmatan pendidikan, penjagaan dan sokongan kepada pesakit kanser serta penjaga di negara ini.

 

“Bagi kempen saringan kanser pada tahun ini, kami menyediakan saringan mammogram kepada 4,500 wanita yang berkelayakan di seluruh negara yang berumur 40 tahun ke atas,” katanya.

 

Majlis menandatangani MoU itu dianjurkan bersempena sambutan Bulan Kesedaran Kanser dan Hari Wanita Sedunia bagi meningkatkan kesedaran terhadap kanser serta kepentingan pengesanan awal.

 

Selain itu, KPJ Wilayah Selatan turut memberikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana (YKTLJ) sempena sambutan Bulan Kesedaran Kanser.

 

Untuk makluman, KPJ Healthcare di Wilayah Selatan turut menyediakan saringan mammogram percuma melalui kerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta YKTLJ untuk golongan kurang berkemampuan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor