FAST-UTHM BANTU KOMUNITI PELBAGAIKAN PRODUK, RANCAKKAN SEKTOR PELANCONGAN


Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (FAST-UTHM) menganjurkan Program Inap Desa Herba di Kampung Parit Bugis, Muar / Gambar Ihsan UTHM.

 

MUAR — Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (FAST-UTHM) dengan kerjasama Pejabat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), Yayasan UTHM dan Koperasi Homestay Kampung Parit Bugis Muar Berhad baru-baru ini menganjurkan Program Inap Desa Herba.

Ia bertujuan memberi pendedahan kepada komuniti luar bandar khususnya pengusaha inap desa di sekitar daerah Muar berkaitan produk hiliran yang mampu membantu merancakkan sektor pelancongan di kawasan berkenaan.

Dalam kenyataannya, FAST UTHM berkata program berkenaan juga secara tidak langsung memberi ruang dan peluang kepada pelajar UTHM untuk meningkatkan kemahiran komunikasi melalui perkongsian ilmu teori dan aplikasi bersama masyarakat.

“Seramai 12 pelajar program Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) mengendalikan Program Inap Desa Herba itu yang juga ahli Persatuan Planeteers UTHM.

“Bagi mencapai objektif program, sebanyak empat modul telah dikongsikan oleh Pensyarah FAST UTHM iaitu slot pembuatan aiskrim nanas yang disampaikan oleh Dr Nurhafizah Malik; Ts Dr Siti Fatimah Sabran (pembangunan produk sabun nanas daripada minyak masak terpakai dan sisa kulit nanas) dan Dr Salasiah Mohamad (pembuatan cenderahati resin tumbuhan herba),” katanya.

Pada program sama, satu ceramah ‘Pengalaman Homestay Malaysia’ turut diadakan yang disampaikan oleh Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Johor, Magdlane Tuborg Melai.

Sementara itu, Penyelaras Homestay Kampung Parit Bugis yang juga Penyelaras Homestay Negeri Johor, Saifudin Mohd Kodak berkata, program itu dilihat dapat meningkatkan daya saing dan pencambahan idea kreatif terutama kepada pengusaha inap desa.

Katanya, menerusi program ini ia secara tidak langsung dapat mempelbagaikan produk dan aktiviti pelancongan sedia ada yang mempunyai keunikan dan identiti tersendiri.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor