KWSAB KEKAL JADI PILIHAN PELANCONG


YB K. Raven Kumar, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Usaha Kerajaan Johor untuk memperkenalkan khazanah warisan dan budaya negeri ini terus memperlihatkan hasil apabila jumlah pelawat ke Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB) mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan, sekali gus menjadikannya antara destinasi pelancongan pilihan utama di Johor.

 

Untuk rekod, jumlah pelawat pada tahun lalu meningkat seramai 70,608 berbanding 5,652 pelawat yang dicatatkan pada 2022. Angka tersebut dijangka akan terus bertambah sehingga penghujung tahun ini menerusi kempen agresif yang dilaksanakan Yayasan Warisan Johor (YWJ) yang memperkenalkan pakej ‘Let’s Visit KWSAB’.

 

Antara pengisian di KWSAB yang berjaya menarik minat pelawat ke sana ialah Rumah Limas Johor yang mempamerkan seni bina, keunikan resepi dan replika Sajian Warisan Johor, permainan tradisional, pemakaian busana Melayu asli, pengenalan aksesori hiasan serta jenis-jenis kemasan sanggul.

 

Selain itu, tarikan lain di KWSAB ialah pameran pelbagai karya lukisan anak seni menerusi Galeri Seni Johor dan pameran koleksi Kain Benang Johor di dalam Galeri Tenun Johor selain pengunjung turut berpeluang mempelajari keunikan 15 variasi Zapin Johor di Rumah Zapin Johor.

 

Terdahulu, YB K. Raven Kumar, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor menyampaikan ucapan penggulungannya pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15, semalam.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor