TURUN PADANG SELAMI KEPERLUAN PELAJAR DAN WARGA KYPJ


YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor. | Foto MDJ, Wira Anggara

 

Meskipun baru tiga hari dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, YB Aznan Tamin telah turun padang ke Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), hari ini.

 

Kunjungan tersebut menjadi platform kepada Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Tanjung Surat itu untuk bertemu dengan pihak pengurusan selain mendengar sendiri cadangan dan permasalahan dihadapi penuntut kolej berkenaan.

 

Di samping itu, beliau turut menzahirkan komitmen untuk memastikan KYPJ dapat dinaik taraf kepada status kolej universiti menjelang tahun 2025, sebagai usaha ke arah menjadi institusi pendidikan yang unggul.

 

Langkah tersebut menjadi fokus utamanya dalam memperkasa sektor pendidikan di negeri ini, yang turut selari dengan titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor agar Kerajaan Negeri mempertingkatkan pendidikan Bangsa Johor.

 

Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM100,000 bagi tujuan meningkatkan kemudahan capaian internet berkelajuan tinggi yang sekali gus memberi impak kualiti terhadap penyampaian pendidikan di KYPJ.

 

Selain itu, institusi pendidikan milik penuh Kerajaan Negeri itu bakal melakukan penambahbaikan fasiliti dan infrastrukturnya dengan pembinaan kolej kediaman baharu yang boleh menampung tambahan 1,200 pelajar.

 

Malah, KYPJ juga bersedia mempelbagaikan tawaran program pengajian yang meliputi asasi, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah demi melahirkan lebih ramai graduan profesional dan teknokrat.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor

#BangsaJohor

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor