KERAJAAN JOHOR HARAP PERUNTUKAN BAIK PULIH JALAN DAPAT DISEGERAKAN


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor berharap peruntukan khas dimohon kepada Kerajaan Persekutuan bagi kerja baik pulih jalan negeri dan persekutuan serta infrastruktur yang rosak akibat banjir dapat disegerakan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, peruntukan tersebut diperlukan agar dapat mempercepatkan kerja-kerja pembaikan.

 

Menurutnya, kerajaan negeri telah memohon sebanyak RM168 juta berdasarkan penilaian Jabatan Kerja Raya (JKR) terhadap kerosakan jalan dan infrastruktur bagi jalan-jalan yang boleh diakses, setakat dua minggu lalu.

 

“Kita harap dapat segera sebab peruntukan ini perlu masuk kepada kerajaan negeri dan kemudian kita ada proses perolehan untuk lantikan kontraktor dan sebagainya. Jadi kita risau kalau peruntukan ini lambat, lantikan kontraktor pun lambat, jadi kerja ini jadi lambat siap,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, hari ini.

 

Mohamad Fazli berkata, peruntukan yang dimohon itu melibatkan jalan-jalan di bawah JKR yang sudah boleh diakses seperti di Segamat, Muar dan daerah lain.

 

Manakala jalan yang belum dapat diakses seperti Batu Pahat, ujarnya, kerajaan negeri belum membuat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan.

 

“Bila banjir sudah surut kita akan lakukan sekali lagi penilaian terhadap jalan-jalan yang rosak. Cuma pihak JKR mengambil sedikit masa walaupun permukaan sudah surut dan kering. Masih ada lagi air di bawah tanah yang mana dia akan mengganggu struktur tanah itu sendiri. Jadi kita akan lakukan proses pembaikan sebaik sahaja tanah betul-betul kering supaya kita dapat struktur tanah yang elok,” katanya.

 

Selain itu, beliau turut memaklumkan sebanyak RM12.1 juta diperlukan untuk baik pulih kerosakan melibat cerun dan tanah runtuh yang menjadi isu utama setakat ini.

 

“Kerja-kerja ini tak boleh dilakukan dalam tempoh yang segera. Kita memerlukan satu kajian teknikal, kemudian kaedah pembaikan mungkin mengambil masa sehingga tujuh bulan. Itu bergantung kepada pertama sekali, kajian teknikal. Kedua peruntukan dan ketiga ialah pemilihan kontraktor yang bersesuaian.

 

“Sebab bila banyak kejadian berlaku serentak sumber kita mungkin tidak cukup. Jadi kita harapkan nanti, pihak JKR dan juga konsesi dapat menggunakan sumber daripada luar untuk bantu membaiki jalan-jalan di seluruh negeri Johor,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor