LARIAN UTOS SEBAGAI ACARA TAHUNAN


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar bersama dif kehormat lain membacakan doa sebelum menyempurnakan ‘flag-off’ peserta UTOS 2022 di Kota Tinggi, Sabtu lalu | Sumber Facebook Jabatan Perhutanan Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor berhasrat menjadikan program larian denai hutan, Ultimate Trails of The South (UTOS), Kota Tinggi 2022 sebagai acara tahunan bagi daerah Kota Tinggi dan Negeri Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar berkata, hasrat itu berikutan sambutan menggalakkan diterima dalam penganjuran acara kali ini.

“Program UTOS 2022 ini diadakan adalah bagi menyediakan ruang beriadah khasnya kepada pengiat sukan larian terutamanya pelari denai hutan di samping bagi mempromosi gaya hidup sihat tanpa mengira umur, bangsa, agama dan warganegara.

“Secara tidak langsung, ia juga merupakan antara usaha Kerajaan Johor untuk mempromosi produk ekopelancongan Negeri khususnya Hutan Simpan Panti yang begitu unik dan menarik dari segi flora dan fauna serta ekosistem hutan hujan tropikanya,” katanya yang turut berkesempatan menyempurnakan ‘flag-off’ peserta UTOS 2022 di Kota Tinggi, Sabtu lalu.

UTOS 2022 merupakan larian di dalam kawasan hutan iaitu Hutan Simpan Panti melalui trek Gunung Panti Barat, Gunung Panti Timur, Gunung Panti Tengah dan Gunung Muntahak melibatkan dua jarak larian iaitu 25 dan 55 kilometer.

UTOS 2022 anjuran bersama Southern Ultra Enterprise dan Endurance Nature Sdn. Bhd. dengan sokongan Kerajaan Johor melalui Jabatan Perhutanan Negeri Johor, Pejabat Daerah Kota Tinggi dan Majlis Daerah Kota Tinggi serta beberapa agensi lain.

Keseluruhan, seramai 222 peserta menyertai UTOS 2022 termasuk 58 orang dari luar negara iaitu United Kingdom, China, Poland, Portugal, Perancis, Finland, Singapura dan Indonesia.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor